Penyelia ladang maut ditetak rakan sekerja

Iklan
Gambar hiasan.

TAWAU - Seorang penyelia ladang warga Indonesia ditemukan mati oleh orang awam dengan empat kesan tetakan di tepi jalan di kawasan ladang sawit Batu 12, Jalan Sin Onn Tiku di sini pada Selasa dipercayai dibunuh rakan sekerja yang mengalami masalah mental.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 57 tahun yang sedang menunggang motosikal ditetak tiga kali di bahagian kepala serta satu di belakang badan oleh suspek lelaki berumur 31 tahun menggunakan parang.

Iklan
Iklan

"Motif kejadian masih tidak jelas, hasil siasatan suspek dan mangsa merupakan rakan baik dan tidak pernah bergaduh.

"Namun suspek dipercayai mengalami halusinasi dan mangsa yang sudah bekerja di ladang berkenaan selama 20 tahun cuba membantu dengan membawa suspek berubat secara tradisional," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Iklan

Peter berkata, suspek ditahan orang awam kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis pada jam 4 petang untuk tindakan lanjut serta polis turut merampas senjata kes iaitu sebilah parang berukuran 50cm.

Katanya, suspek yang juga pendatang haram warga Indonesia dan baharu bekerja selama dua bulan di ladang berkenaan ditahan reman selama 14 hari bermula Selasa bagi siasatan lanjut.

Iklan

Sementara itu, Peter berkata, dalam kes berasingan polis menahan seorang lelaki serta merampas 60 mesin melombong Bitcoin dalam dua serbuan antara jam 1.30 tengah hari hingga 2 petang di kawasan rumah kedai di Bandar Sri Indah di sini pada Selasa.

"Serbuan pertama bersama SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) serta Majlis Perbandaran Tawau (MPT), polis terpaksa memecah masuk sebuah premis dan merampas 40 mesin melombong Bitcoin yang masih aktif bersama seunit monitor dan desktop termasuk keyboard, namun tiada tangkapan dilakukan," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua pula, polis turut memecah pintu masuk premis dan merampas 20 mesin melombong Bitcoin serta menahan seorang lelaki iaitu penyewa premis berusia 38 tahun yang mengaku mencuri bekalan elektrik bagi kegiatan melombong Bitcoin sejak Disember tahun lalu.

Menurutnya, tindakan sindiket mencuri elektrik bagi kegiatan melombong Bitcoin di dua premis itu mengakibatkan SESB mengalami kerugian RM31,084 dalam tempoh tiga bulan lalu.

Katanya, kes Bitcoin itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan. - Bernama