Perak mulakan kajian bina terowong air

Iklan
Saarani (kanan) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim mendengar masalah diutarakan rakyat sempena program Mesra di daerah Kerian.

BAGAN SERAI - Kerajaan Perak akan mulakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan terowong air dari Sungai Perak ke kolam Bukit Merah, tahun ini bagi mengatasi kekurangan bekalan air di sawah padi terutama pada musim kemarau.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kajian berkenaan dijangka mengambil masa yang agak lama dengan mengambil kira kos dan kaedah pelaksanaan secara keseluruhan sebelum dapat direalisasikan.

Iklan
Iklan

"Projek terowong ini telah dicadangkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan kerajaan negeri melihat memang ada keperluan untuk memberi perhatian yang serius terhadap cadangan itu.

"Untuk peringkat awal, kita akan mulakan kajian mengenainya tahun ini dan kita tengoklah jika ia boleh dilaksanakan atau tidak kerana projek sebegini mengambil masa kajian yang lama termasuk melihat kesediaan Sungai Perak itu sendiri sama ada bekalan airnya mencukupi atau tidak," katanya pada sidang akhbar sempena Program Menteri Besar bersama Rakyat (Mesra) di Dewan Dato Zainal Abidin Zin di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, masalah kekurangan air bagi tujuan pengairan sawah di daerah Kerian bukan perkara baharu dan ia sering menjadi rungutan pesawah setiap kali musim panas serta kemarau tiba.

Keadaan itu katanya, turut memberi kesan kepada kemerosotan hasil padi yang menyumbang kepada keperluan beras negara.

Iklan
Barisan Exco Kerajaan Negeri Perak turut turun padang mendengar masalah diutarakan rakyat sempena program Mesra di daerah Kerian.

"Punca utama masalah ini berlaku kerana di sini tidak mempunyai punca air dan kawasan tadahan air kerana itu kita memerlukan sokongan dari luar.

"Dengan adanya kemudahan terowong ini, kita boleh membekalkan air dari Sungai Perak ke kolam Bukit Merah untuk digunakan pada waktu-waktu diperlukan.

"Kita tidak boleh sewenangnya mengambil bekalan air dari empangan, kerana itu akan mengganggu sistem jana kuasa elektrik sedia ada," katanya.

Pada 2016, kerajaan negeri ketika itu di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah mencadangkan projek pembinaan terowong khas bagi mengalirkan air dari Sungai Perak ke kolam Bukit Merah dengan kos dianggarkan RM300 juta.

Pembinaan terowong itu dijangka mampu membekalkan air kepada penduduk di daerah Kerian serta sebahagian penduduk Kamunting termasuk bagi keperluan lebih 20,000 hektar kawasan sawah padi.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, pelaksanaan program Mesra yang memberi peluang orang ramai bertemu secara terus dengan Exco kerajaan negeri dan pengarah-pengarah jabatan itu menjadi medium terbaik dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Jelasnya, walaupun tidak semua isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan, sekurang-kurangnya ia memberi jalan ke arah penyelesaian yang mungkin telah lama dihadapi mereka.

"Ada sebahagian selesai tadi dan sebahagian lagi barangkali memerlukan mesyuarat dan siasatan antaranya yang melibatkan isu tanah pusaka.

"Apa yang pasti kebanyakan mereka yang hadir keluar dengan wajah ceria kerana ada jalan penyelesaian," katanya.