Tukang cuci terharu Uncle Kentang bantu anak pindah sekolah

Iklan
Dari kanan: Kamala, Chee Heng dan pihak PPD Petaling Utama.

PUCHONG - Seorang wanita yang bekerja sebagai tukang cuci terharu apabila dibantu oleh aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng untuk menukarkan sekolah anaknya kepada sekolah berdekatan rumahnya di Puchong Utama Court 1, di sini.

Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, Kamala Maniam, 52, datang ke pejabatnya merayu untuk memohon anaknya dipindahkan ke Sekolah Menengah Puchong Utama dari Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong, Batu 14, di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, permohonan tersebut dibuat kerana Kamala tidak mampu untuk membayar yuran van sekolah yang mencecah hampir RM150 sebulan.

"Gaji dia RM1,200, sewa rumah RM500, bil api dan elektrik RM100, tuisyen anaknya RM100, tinggal RM500 baki untuk perbelanjaan harian.

Iklan

"Dia kena bayar van sekolah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong, Batu 14, Puchong sebanyak RM150, tinggal RM350 untuk makan dua beranak. Dia ibu tunggal, memang tak mampu lah,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Chee Heng dan Kamala pergi ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama untuk berbincang dengan pihak terbabit berkenaan permohonan ibu tunggal itu untuk menukarkan sekolah anaknya.

Iklan

Ujarnya, pihak tersebut memaklumkan bahawa permohonan itu telah diluluskan dan surat penukaran sekolah akan dikeluarkan tidak lama lagi.

"Hari ini, pihak PPD Petaling Utama memaklumkan bahawa mereka akan luluskan permohonannya untuk menukar sekolah anaknya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong, Batu 14, ke Sekolah Menengah Puchong Utama.

"Saya ucap terima kasih kepada pihak PPD Petaling Utama yang membantu mudahkan proses, memang dia (Kamala) nampak sangat gembira kerana anaknya dapat bertukar sekolah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamala ketika ditemui mengakui gembira selepas usahanya ke PPD Petaling Utama sebanyak tujuh kali membuat permohonan untuk menukar sekolah anak lelakinya membuahkan hasil.

"Saya sangat gembira bila pihak PPD maklumkan permohonan pertukaran sekolah anak saya diluluskan.

"Sebelum ini, sudah tujuh kali saya ke sana menaiki pengangkutan e-hailing, tapi masih tak selesai. Saya menangis sebab banyak duit saya dah habis,” katanya.

Selain dibantu dari segi penukaran sekolah anaknya, Kamala berkata, Chee Heng turut menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM200 dan barangan keperluan asas berbentuk makanan seperti beras, biskut dan sebagainya.