KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperuntukkan sejumlah RM800,000 setiap tahun bagi program kecemerlangan solat di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, Program Membina Generasi Solat adalah kesinambungan sambutan Bulan Sembahyang yang dianjurkan kerajaan negeri sejak tiga dekad pentadbiran Membangun Bersama Islam.
Menurutnya, program berkenaan mendapat sambutan dan maklum balas positif rakyat Kelantan yang bermatlamat untuk mengimarahkan lebih 600 masjid dan 2,000 surau di Kelantan terutama dalam kalangan generasi muda.
"Usaha ini perlu terus disokong supaya Kelantan kekal berkat lagi makmur yang mana iman dan takwa ditafsirkan sebagai faktor pendorong kepada terbentuknya akhlak seorang individu yang beramal soleh.
"Ia juga akan melahirkan pekerja berintegriti dan berkualiti, pemerintah yang adil dan saksama, seterusnya menghindari masalah sosial, mengekang jenayah dan tiada sebarang unsur penyelewengan ataupun rasuah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bersempena dengan Perutusan Israk dan Mikraj itu juga, Ahmad turut menyeru kepada semua rakyat Kelantan agar memastikan ibadah solat sentiasa dijaga dan diambil berat sama ada dalam ahli keluarga, masyarakat mahupun pekerja di bawah tanggungjawab mereka.
"Saban tahun kita menyambut kedatangan peristiwa agung Israk dan Mikraj yang terkandung pelbagai hikmah dan pengajaran.
"Kefarduan solat merupakan satu anugerah yang paling besar daripada ALLAH SWT kepada Rasulullah SAW dan umatnya dalam peristiwa tersebut.
"Ibadah solat lima waktu ditetapkan merupakan kunci utama kepada pembentukan iman dan takwa umat Islam" katanya.
Pada masa sama, Ahmad turut mengajak seluruh rakyat mendoakan agar musibah dan ujian akibat penularan wabak Covid-19 akan segera berakhir.