Usahawan desak polis segera bertindak

Iklan
Azman Shapawi (tiga، kanan) bersama beberapa mangsa yang lain menunjukkan laporan polis yang dibuat sebelum ini berkaitan penipuan individu terbabit.

KUALA KANGSAR - Sekumpulan usahawan berdepan kerugian sekitar RM10,000 setiap seorang selepas didakwa ditipu seorang individu.

Wakil usahawan, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, individu tersebut berasal dari Kuala Kangsar yang mengiklankan pelbagai barangan seperti van, trak makanan، kambing dan sebagainya melalui laman web jualan atas talian terkenal.

Iklan
Iklan

Katanya, kebanyakan mangsa hanya menyedari ditipu selepas barang yang dipesan tidak sampai selepas bayaran dibuat.

"Saya sendiri ditipu dengan penjualan kambing pada Februari 2018 dengan nilai RM5 000 cakap nak hantar hari ini, lusa tapi sampai setahun lebih tak sampai-sampai.

Iklan

"Semua mangsa sudah membuat laporan polis, cuma kami terkilan sedikit apabila setiap laporan polis yang dibuat di balai tempat masing-masing tiada tindakan daripada PDRM," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar untuk mengadakan pertemuan dengan pihak polis, di sini.

Iklan

Katanya, kebanyakan mangsa bukan sahaja dari Perak tetapi turut melibatkan usahawan dari Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur.

Azman Shapawi berkata, tindakan mereka membuat laporan polis dan sidang media itu bukan atas dasar peribadi tetapi bimbang kes itu berterusan dan ramai lagi menjadi mangsa pada masa akan datang.

Menurutnya, mereka turut bimbang jika ada mangsa yang akan bertindak sendiri jika isu tersebut tidak diselesaikan segera oleh pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim mengesahkan kehadiran Azman Shapawi bersama beberapa mangsa di IPD Kuala Kangsar.

Menurutnya, kehadiran mereka adalah untuk meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap kes penipuan yang dilaporkan di beberapa negeri.

Beliau berkata, mungkin berlaku salah faham di antara pegawai penyiasat dengan pengadu yang mendakwa pihak polis tidak mengambil tindakan.