ALOR GAJAH, - Seorang lelaki maut apabila motosikal Yamaha ditunggangnya dipercayai melanggar seekor lembu yang melintas di Jalan Bukit Bulat, di sini pada Rabu.
Dalam insiden jam 8.15 malam itu, mangsa Abdul Bahrin Hamid, 59, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dikatakan dari arah Hutan Percha menghala ke Felda Solok Menggong.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian mangsa yang beralamat di Kampung Lendu dipercayai tidak sempat menggelak lalu melanggar seekor lembu yang berada di atas jalan.
"Akibat pelanggaran itu mangsa yang menunggang motosikal sendirian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.
"Siasatan awal mendapati kemalangan itu disebabkan haiwan melintas selain terdapat kesan geseran dan serpihan di tempat kejadian, bagaimanaupun siasatan masih diteruskan," katanya.
Mengulas lanjut katanya, motosikal ditunggang mangsa turut mengalami kerosakan teruk dan telah ditahan di Balai Polis Trafik Alor Gajah, manakala lembu tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.