KUALA LUMPUR - Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) menjangkakan seramai 2,500 petugas kesihatan dari hospital dan klinik swasta di Kuala Lumpur akan menerima suntikan vaksin Covid-19.
Ketua Jabatan Kecemasan PHKL, Dr Mohammed Ridzuan Abdul Razak berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memilih PHKL menjadi Pusat Vaksinasi Covid-19 bagi petugas barisan hadapan kakitangan kesihatan swasta di Kuala Lumpur sejak 1 Mac 2021.
Menurutnya, proses penyampaian vaksin tersebut berjalan lancar sejak 1 Mac dan mendapat kerjasama serta latihan secukupnya yang diberikan oleh KKM.
"Pada mulanya, seramai 10 jururawat dari PHKL diberikan suntikan vaksinasi Covid-19 di klinik kesihatan kerajaan sebelum memulakan tugas dalam menjayakan Fasa Satu Program Vaksinasi Covid-19 negara ini.
"Persiapan lain juga dijalankan dalam tempoh singkat untuk menukarkan Dewan Pantai di PHKL sebagai Pusat Vaksinasi Covid-19 mengikut susun atur fasiliti yang digariskan oleh KKM,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dr Mohammed Ridzuan berkata, setiap hari dua orang kakitangan dari KKM akan datang memantau dan memberi sokongan untuk memastikan proses vaksinasi bagi petugas kesihatan swasta berjalan dengan lancar.
Beliau berkata, PHKL yakin sistem yang disediakan oleh KKM sangat cekap sekiranya KKM memerlukan hospitalnya untuk memberikan suntikan vaksinasi kepada lebih ramai petugas kakitangan swasta di Kuala Lumpur.
"Ia akan membantu usaha untuk mencapai sasaran 80 peratus kadar vaksinasi yang diumumkan oleh kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, beberapa wartawan yang hadir ke sesi lawatan Pusat Vaksinasi @PHKL tersebut menyaksikan petugas kesihatan swasta dari pelbagai peringkat umur tampil untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 di hospital tersebut.
Rata-rata memberikan maklum balas positif dan berharap supaya lebih ramai rakyat Malaysia mendaftarkan untuk program vaksinasi Covid-19 dalam usaha mengawal wabak tersebut.