KUALA LUMPUR - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memfailkan saman terhadap bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Anina Saadudin atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi Facebook (FB) miliknya bahawa Menteri Pertahanan itu tidak kompeten dalam menjalankan tugas ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ismail Sabri, 61, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu dalam kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 5 Mac lepas dengan menamakan Anina, 46, selaku defendan tunggal.
Dalam penyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Anina telah menerbitkan 13 kata-kata fitnah terhadap plaintif dan turut memuat naik video di dalam Facebook miliknya, antara lain mendakwa menteri itu tidak kompeten dalam menjalankan tugasnya ketika melaksanakan peraturan-peraturan ketat untuk memerangi penyebaran Covid-19 menerusi PKP.
Menurut plaintif, 13 penyiaran kata-kata fitnah dibuat oleh Anina bermula 5 Februari hingga 3 Mac lepas menerusi Facebooknya yang turut dikongsi oleh pengguna laman sosial itu.
Kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif adalah 'boneka' yang semata-mata melaksanakan perintah Perdana Menteri, tidak cekap dan kompeten dalam kerjayanya.
Menurut Ismail Sabri, laporan polis telah dibuat terhadap defendan dan siasatan oleh pihak berkuasa dimulakan terhadap siaran fitnah itu, namun defendan tidak mengendahkan perkara berkenaan.
Menurutnya akibat kata-kata fitnah itu, reputasinya turut terjejas dan siaran-siaran fitnah yang dibuat oleh defendan adalah berniat jahat untuk mencederakan dan menjatuhkan nama baik serta imej plaintif.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relif lain difikirakan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, Ismail Sabri turut memfailkan permohonan secara ex parte (sebelah pihak) untuk mendapatkan perintah injunksi bagi memaksa defendan dengan serta-merta memadamkan kesemua penyiaran fitnah mengenai plaintif di akaun Facebook defendan dan injunksi bagi menghalang defendan atau wakilnya daripada membuat penyataan fitnah menerusi media sosial yang diuruskan oleh defendan.
Ahli Parlimen Bera memfailkan permohonan itu atas alasan defendan secara berterusan sejak awal Februari lepas, menyiarkan beberapa kata-kata fitnah terhadap plaintif, yang tidak benar.
Plaintif mendakwa walaupun laporan polis telah dibuat, namun defendan masih tidak menyesal dan terus menyiarkan 12 kata-kata fitnah terhadap plaintif pada 13 Februari, 17, 18 dan 19 Februari serta 23 Februari lepas, mengakibatkan surat tuntutan bertarikh 24 Februari lepas dihantar, antara lain memohon supaya defendan dengan serta merta memadamkan siaran-siaran fitnah itu.
Dakwa plaintif, defendan enggan membalas kepada tuntutan plaintif dan terus menyiarkan dua lagi kata-kata fitnah terhadap plaintif pada 3 Mac lepas.
Permohonan perintah injunksi itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril pada Khamis. - Bernama