WASHINGTON - AS pada Rabu mengenakan sekatan ke atas dua anak pemimpin junta tentera Myanmar kerana melakukan kekerasan terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi.
Anak lelaki dan perempuan Panglima Tentera Min Aung Hlaing, Aung Pyae Sone dan Khin Thiri Thet Mon masing-masing, disenarai hitam kerana 'secara langsung mendapat keuntungan daripada kedudukan dan pengaruh ayah mereka', kata Jabatan Perbendaharaan dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu.
Selain itu, enam syarikat milik anak-anak pemimpin de facto itu turut dikenakan sekatan, termasuk A&M Mahar Company Limited, Sky One Construction Company Limited, Yangon Restaurant, Yangon Gallery, Everfit Company Limited dan Seventh Sense Company Limited.
"Keganasan tanpa kawalan oleh pasukan keselamatan Myanmar terhadap penunjuk perasaan secara aman tidak dapat diterima.
"Amerika Syarikat akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa kami untuk menekan tentera dan polis Myanmar supaya menghentikan semua keganasan terhadap penunjuk perasaan secara aman dan memulihkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang di negara itu," kata Pengarah Kawalan Aset Asing, Andrea Gacki dalam satu kenyataan.
Protes yang tercetus pada 6 Februari itu sudah berlanjutan selama lebih sebulan di bandar-bandar di seluruh negara ketika penentang rampasan kuasa menuntut pembebasan pegawai kanan dan mengakhiri pemerintahan junta tentera.
Sekurang-kurangnya 65 orang terbunuh semasa tentera menggunakan kekerasan.
Pada Rabu, sekurang-kurangnya 200 orang ditangkap ketika pasukan tentera dan polis menyerbu bandar dan kawasan di stesen kereta api Yangon, pusat bandar dan hab komersial terbesar di Myanmar. - Bernama