KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dilantik sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang baharu berkuat kuasa 4 Februari lepas.
Menurut IKIM dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melantik Ahmad Sarji kerana beliau berpengalaman luas dan cemerlang dalam menerajui pelbagai badan kerajaan dan organisasi di dalam sektor awam, korporat, agama, pendidikan, budaya dan sukan sejak 1961 sehingga kini.
"Pada tahun 2018 beliau telah dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam.
"IKIM amat yakin pelantikan Tun Ahmad Sarji akan mengukuhkan lagi prestasi IKIM dalam menjayakan misi dan visi penubuhannya untuk menjadi institusi utama kefahaman Islam bertaraf antarabangsa dengan menjalankan program-program penyelidikan bermanfaat besar, meningkatkan kefahaman Islam yang benar kepada pelbagai lapisan masyarakat dalam dan luar negara serta memberi khidmat perundingan kepada semua pihak melalui saluran media dan ilmiahnya," menurut kenyataan itu lagi.
Pada masa sama, Dr Mahathir turut melantik Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman sebagai Naib Pengerusi IKIM berkuat kuasa pada tarikh sama.
"Tan Sri Sheikh Ghazali mempunyai pengalaman yang amat luas dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam dan antara lain merupakan Ahli Majlis Pakar Pelbagai Disiplin (Syariah) di Jabatan Peguam Negara Malaysia," menurut kenyataan itu.
Justeru, warga kerja IKIM merakamkan setinggi penghargaan kepada Dr Mahathir di atas kedua-dua pelantikan ini.
"Tahniah diucapkan kepada Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman," menurut kenyataan itu lagi.
Sebelum ini, pengerusi IKIM disandang bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjawat jawatan tersebut pada 1 Sept 2015 hingga 31 Ogos 2018 manakala Naib Pengerusinya Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali yang meninggal dunia pada 31 Oktober 2017.
Ahmad Sarji yang merupakan pengasas institusi ini dilantik menjadi pengerusi yang pertama pada 1992. - Bernama