SHAH ALAM - Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Subang Jaya terpaksa meminta bantuan polis selepas menyedari anggotanya, Muhammad Adib Mohd Kassim hilang ketika diserang perusuh Kuil Sri Maha Mariamman, November lalu.
Badrul Hisyam Salim @Ali yang juga saksi kelima Inkues Kematian Muhammad Adib berkata, dalam keadaan getir itu, hanya polis yang dapat membantu mereka.
"Setelah kami berjaya menyelamatkan diri, saya membuat panggilan baris dan mendapati Muhammad Adib tiada bersama kami.
"Saya kemudiannya bergegas ke balai polis dan meminta mereka segera ke lokasi insiden mencari arwah," katanya.
Menurutnya beliau tidak menyangka Muhammad Adib yang hilang kerana hanya fikirkan Hazim yang tidak sempat menaiki FRT untuk menyelamatkan diri.
"Semasa buat panggilan baris, saya hanya memikirkan Hazim, tetapi dia ada dan Muhammad Adib tiada," katanya.
Katanya sewaktu diserang, beliau memikirkan keselamatan kesemua anggotanya dan perlu berundur ke balai polis.
"Selepas menyedari tiada Hazim di dalam FRT, dalam kepala saya hanya perlu ke balai polis kerana sekiranya berhenti di situ (lokasi rusuhan) , ia boleh mendatangkan kecederaan kepada saya dan anggota," katanya.
Badrul,39, yang merupakan penyelia pasukan berkata, beliau tidak pernah menyangkakan menerima serangan daripada orang awam sepanjang 18 tahun berkhidmat.
"Orang ramai sepatutnya mengalu-alukan kedatangan bomba untuk memadam kebakaran tetapi pada waktu itu mereka marah ( dengan kehadiran bomba)," katanya yang turut mengalami kecederaan pada tangan akibat terkena serpihan cermin FRT.
Perbicaraan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ditangguhkan dan bersambung esok.