BIARPUN menang 5-2 ke atas Southampton, pengendali Manchester City Pep Guardiola tetap menyifatkan skuad The Saints itu sebagai lawan terbaik yang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.
Menurut Guardiola, skuad kendaliannya telah menerima tentangan sengit daripada skuad kendalian Ralph Hasenhuttl itu di sepanjang perlawanan sebelum mencatatkan kemenangan berkenaan.
"Bagi tempoh 20 hingga 25 minit awal, mereka (Southampton) adalah kelab terbaik yang pernah kami temui.
"Kami agak sukar mengawal pergerakan pemain mereka dan malah, kami juga tidak dapat banyak bergerak pada perlawanan kali ini.
"Mereka berjaya mengekang asakan-asakan kami dan kemenangan kami kali ini hanyalah disebabkan pemain-pemain berkualiti yang kami miliki,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan gol-gol City dijaringkan oleh Kevin De Bruyne pada minit ke-15, 59, Riyad Mahrez (40, 55) dan Ilkay Gundogan (45 ++) manakala Kaes Wared Prowse dan Che Adam menjaringkan gol buat Southampton pada minit ke-25 dan 56.
Kemenangan berkenaan, sekali gus menyaksikan City kian mengukuhkan kedudukan di puncak EPL dengan 68 mata dan memiliki kelebihan 14 mata walaupun tewas kepada pencabar terdekat, Manchester United 0-2 awal pagi Isnin lalu.
Skuad The Citizens itu hanya memerlukan enam lagi kemenangan untuk dinobatkan selaku juara EPL 2021.
Sementara itu, Guardiola berharap kesebelasan pemain mula memberikan fokus untuk berdepan Fulham, awal pagi Ahad nanti dalam usaha mencatatkan satu lagi kemenangan bagi mengukuhkan lagi kedudukan.
"Ini adalah aksi terakhir kita sebelum tempoh rehat antarabangsa nanti. Namun, kita perlu ingat, kita akan berdepan Borussia Monchengladbach aksi kedua peringkat kalah mati Liga Juara-Juara pada 17 Mac di Etihad.
"Kemudiannya kita akan berdepan Everton pula bagi aksi suku akhir Piala FA pada 21 Mac,” katanya.