MELAKA - Kerajaan negeri tidak menolak untuk menyerahkan kes pencerobohan tanah rizab Empangan Durian Tunggal dan Empangan Jus di Jasin kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, siasatan akan dilakukan sama ada pencerobohan yang telah lebih lima tahun berlaku itu terdapat penglibatan 'orang dalam' atau sebaliknya memandangkan kegiatan haram itu turut melibatkan pembinaan bangunan kekal seperti chalet dan rumah penginapan.
Menurutnya, walaupun lebih 80 notis mengosongkan kawasan telah dikeluarkan sejak tahun 2014 namun masih terdapat penceroboh tegar menduduki kawasan tersebut.
Justeru, katanya, kerajaan negeri memberikan tempoh kepada mereka untuk mengosongkan kawasan tersebut selewat-lewatnya 1 April depan.
"Kita tidak seperti negeri lain yang mempunyai sumber air yang banyak. Kita terpaksa 'import' air dari negeri luar untuk bekalkan kepada seluruh rakyat Melaka.
"Apatah lagi air yang diminum kualitinya perlu kita jaga, bagaimana penceroboh boleh buat sesuka hati dan menggunakan air dalam kolam tadahan termasuk pam air di rumah pam untuk kegunaan tanaman mereka," katanya.
Sulaiman berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Seri Negeri, di sini pada Khamis.
Pada Selasa lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya mengesan berlaku pencerobohan bagi tujuan pertanian seperti tanaman durian musang king, buah naga, sireh, kelapa, sayur-sayuran selain chalet dan rumah penginapan yang membabitkan kawasan seluas 188.73 hektar.
Malah Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah telah mengambil tindakan memberikan notis pengosongan tapak sejak tahun 2014 dan hasil pemantauan mendapati 75 peratus penceroboh telah mengosongkan kawasan rizab terbabit.
Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, apa yang dikesalkan selain pertanian haram terdapat juga rumah pekerja asing yang bertapak dalam kawasan rizab empangan.
Jelasnya, kawasan empangan negeri itu diwartakan sebagai kawasan larangan di bawah Seksyen 4 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 melalui Perintah Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (No.7) 2011.