Wujudkan KXP AirportCity

Iklan
Mukhriz Tun Mahathir. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Kerajaan negeri menubuhkan sebuah anak syarikat, KXP AirportCity Holding Sdn. Bhd. (KXP AirportCity) bagi merancang dan menguruskan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di daerah Kuala Muda.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, KXP AirportCity merupakan syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan akan beroperasi pada 4 Mac depan

Iklan
Iklan

Menurutnya, entiti khas itu juga berperanan sebagai agensi tunggal yang mewakili kerajaan negeri untuk sebarang rundingan dengan kementerian, jabatan dan agensi-agensi pusat bagi mendapatkan kelulusan berkaitan projek terbabit.

"KXP AirportCity akan mengendalikan semua perkara seperti merancang, menyelaras dan menguruskan pembangunan KXP, termasuk menarik pelaburan swasta. Sudah ada beberapa syarikat menunjukkan minat terlibat dalam pembangunan KXP, dan kita akan nilai satu persatu,” katanya, pada sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Iklan

Mukhriz berkata, antara syarikat yang menunjukkan minat termasuk syarikat yang berhasrat menjadi pelabur sahaja, manakala terdapat juga syarikat yang memiliki kepakaran dan pengalaman menguruskan lapangan terbang khususnya penerbangan kargo.

"Secara prinsipnya, kita telah menerima kelulusan daripada Kerajaan Pusat untuk bangunkan lapangan terbang ini yang menumpukan kepada logistik dan kargo. Ada beberapa kaedah pembiayaan projek, antaranya pelaburan swasta termasuk dari luar negara, atau mekanisme ‘Built, Operate and Transfer’ (BOT) dalam tempoh tertentu, dan setelah siap diserahkan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Iklan

Menurutnya, buat masa ini, kajian kebolehupayaan (feasibility) lebih terperinci dan menyeluruh akan dilakukan bagi mengenal pasti komponen yang diperlukan dalam pembinaan KXP.

"Antara komponen yang dicadangkan dalam pembinaan KXP ialah taman industri aero angkasa atau Aerocity berdekatan bagi industri pesawat, selain untuk menarik pelaburan luar negara,” katanya.

Mukhriz turut berhasrat mewujudkan lebuh raya baharu dari Bandar Baharu ke Sungai Petani untuk menghubungkan Sidam Kiri yang merupakan lokasi KXP.

"Ini untuk memudahkan akses ke lapangan terbang itu, dan kita akan bincang dengan Perak untuk perluaskan lebuh raya itu sehingga ke bandar bersesuaian seperti Changkat Jering atau mana-mana yang sesuai,” katanya.

Mukhriz yang juga Pengerusi KXP AirportCity turut mengumumkan bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Kulim Technology Park Corporation, Datuk Dr Ir Annuar Mohd Saffar sebagai CEO KXP AirportCity.

Manakala tiga Ahli Lembaga Pengarah KXP AirportCity, adalah Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KLIA Premier Holdings Sdn. Bhd, Tan Sri Ir Jamilus Hussein serta Ketua Eksekutif PKNK, Abdul Rahman Abdullah.