SEMENYIH – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempertaruhkan calon pemudanya, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, untuk berentap pada PRK DUN Semenyih, 2 Mac depan.
Anak jati Semenyih ini dipilih PSM bagi menambat hati 40 peratus pengundi di DUN sebelum ini milik ADUN Bersatu, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor yang meninggal dunia 11 Januari lalu.
Pengumuman calon itu dibuat Pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim yang turut menyifatkan Nik Aziz Afiq sebagai calon terbaik berbanding calon parti yang akan diumumkan Sabtu ini.
"Kita tahu PSM susah nak menang tapi sekurang-kurangnya kali ini PSM letak calon yang belum pernah kalah. Tapi bila kita masuk bertanding, kita mahu lakukan yang terbaik dan memberitahu rakyat hak-hak mereka.
"Memandangkan golongan muda mahukan perubahan dan pembaharuan mereka lebih berminat untuk menjadi anarkis atau sosialis,” katanya di sini, malam ini.
Nik Aziz seorang aktivis sepenuh masa di samping mengusahakan pusat urut tradisional di Semenyih Sentral.
Calon PSM itu tidak kekok memberitahu latar belakang pendidikannya yang tidak berjaya menghabiskan semester akhir pengajiannya dalam jurusan Diploma Pengajian Islam di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra Nilam Puri Kelantan.
"Saya tahu isu pendidikan jadi topik hangat sekarang, tapi saya jujur, tidak ada apa nak disembunyikan. PSM bukan parti elit atau eksklusif saya tak malu mengaku tidak ada pelajaran yang tinggi.
"Dalam perjuangan kita tak kisah lulusan universiti atau tidak ia lebih kepada komitmen perjuangan kepada nasib rakyat. Protokol dan pangkat kami tak guna,” ujarnya.
Malah, Ketua Pemuda, Khalid Mohd Ismath menambah, isu pendidikan yang sedang tular mutakhir ini kerana integriti dan penipuan yang dibuat wakil rakyat dan menteri yang menggunakan ijazah palsu.
"Graduan universiti belum tentu mampu bercakap seperti aktivis, sebab aktivis ini faham sebab telah lama bergelumang dengan kerja-kerja rakyat.
"Kita (PSM) tekankan integriti dan kredibiliti tentang isu yang dibawa,” tegasnya.
Sementara itu, S Arulchelvan yang dilantik sebagai pengarah pilihanraya DUN Semenyih turut berkata, PSM sudah lali dengan tohmahan musuh politik yang sering menggambarkan parti ini sebagai komunis, anti agama dan anti kapitalis.
"Kami sudah 20 tahun dalam arena politik tanah air, memang PSM agresif dalam memperjuangkan isu-sisu rakyat. Kali ini kami akan ketengahkan isu perumahan, kesihatan dan bebanan hutang yang ditanggung anak muda.
"Biasalah orang yang tak suka akan buat tuduhan tertentu,PSM komunis dan sebagainya. Orang nak pandang apa pun kepada kita, terpulanglah sebab sumber ilham kita ialah rakyat,” katanya.