SERI KEMBANGAN - Bagi menghargai pengorbanan perwira dan pahlawan negara, kerajaan melaksana dan mewujudkan Kempen Tabung Pahlawan yang diuruskan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kempen itu turut disokong pelbagai pihak dan mendapat kerjasama penuh beberapa agensi korporat seperti The Mines Resort and Golf Club yang diasaskan oleh Tan Sri Lee Kim Yew.
Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, kerjasama strategik itu bermula dengan keprihatinan Kim Yew kepada veteran ATM menerusi sumbangan Food Bank untuk perajurit dan pahlawan negara.
Menurutnya, ia selaras dengan hasrat Kim Yew dalam menunjukkan manifestasi penghargaan beliau sebagai seorang ahli korporat bagi membalas jasa perwira dan pahlawan negara yang berjuang kepada negara pada masa lalu.
"Dengan kerjasama awal ini, maka tercetusnya idea 'My Hero My Veteran Charity Golf' dalam bentuk 'in-kind' iaitu kebenaran eksklusif kepada Kempen Tabung Pahlawan bagi menganjurkan program golf amal di The Mines Resort and Golf Club.
"Projek kerjasama ini adalah yang pertama kalinya antara kedua-dua pihak dan dijalankan secara bersama.
"Objektif kerjasama ini adalah untuk mengumpul dana bagi membantu veteran ATM dan keluarga mereka yang memerlukan," katanya pada majlis kolaboratif strategik antara The Mines Resort and Golf Club dan JHEV di The Mines Resort and Golf Club Wellness City di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai program golf amal itu, Dzulkarnain berkata, ia diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad bermula pada 13 Mac sehingga 15 Disember depan.
Menurutnya, individu berminat boleh membeli baucar bernilai RM1,000 atau RM4,000 secara berkumpulan seramai empat pemain melalui M2 Squared di https://onelink.to/nwpmw8 atau di kaunter The Mines Resort and Golf Club di sini.
"Sumbangan ini juga akan diberi penolakan cukai di bawah Sub Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967. Setiap penyertaan akan mendapat cenderahati dan sijil sebagai penghargaan," katanya.
Ditanya rancangan jangka panjang JHEV ATM bagi meningkatkan komitmen menyumbang dalam kalangan masyarakat pula, beliau berkata, pihaknya sedar sentimen masyarakat Malaysia untuk menyumbang kepada Kempen Tabung Pahlawan masih rendah.
Justeru, katanya, JHEV akan mengadakan kempen berterusan termasuk menerusi kerjasama agensi luar.
"Hebahan melalui saluran media diteruskan dari semasa ke semasa agar penyampaian maklumat dapat diperluaskan lagi," katanya.
Mengenai harapan untuk Kempen Tabung Pahlawan 2021, beliau berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama itu kerana ia dapat membantu menambah dana sumbangan bagi tahun 2020 yang berjumlah kira-kira RM8.9 juta sehingga sasaran kutipan sebanyak RM10 juta tercapai.
Menurutnya, kesemua hasil kutipan itu akan dimanfaatkan oleh veteran ATM menerusi 133 persatuan yang ada termasuk untuk diserahkan kepada balu anggota tentera dan keluarga mereka yang kurang bernasib baik.