Isu ijazah palsu: Pemimpin PH perlu beri penjelasan

Iklan
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU - Pemimpin PH yang diheret dan terpalit dalam penipuan sijil dan kelayakan akademik mesti tampil dan memberi penjelasan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu bagi menjelaskan dan menghentikan isu tersebut.

Iklan
Iklan

"Dalam pertikaian terhadap ijazah palsu terhadap Menteri Besar Johor misalnya, memandangkan beliau memilih untuk membisu, maka Universiti Putra Malaysia atau dahulunya Universiti Pertanian Malaysia (UPM) harus tampil dan membuat penjelasan.

"Memandang UPM sendiri sudah berjanji kepada orang awam untuk membuat penjelasan, maka saya gesa penjelasan ini diberikan segera. Hanya penjelasan dari pihak UPM akan mengesahkan isu ini,” katanya di sini hari ini.

Iklan

Mohamed Khaled berkata, beliau turut menzahirkan rasa kesal dengan sikap Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang berdiam diri mengenai isu tersebut.

Katanya, sebagai seorang yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan memegang portfolio berkaitan pendidikan dan pengajian tinggi, Maszlee mesti tampil dan memberikan kepimpinan dalam isu itu.

Iklan

"Beliau mesti menjadi suara yang mampu menjaga integriti dunia kesarjanaan. Tidak ada orang yang lebih layak dan berautoriti melainkan beliau dalam memberi penjelasan berhubung perkara ini.

"Adalah sangat memalukan jika kepimpinan negara ini dipenuhi dengan mereka yang bukan sahaja tidak mempunyai integriti dan kejujuran berhubung kelayakan diri, malah mereka disokong dan dipertahankan pula secara tidak bertanggungjawab oleh pemimpin-pemimpin PH,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, perkara itu harus berhenti segera serta UPM dan Menteri Pendidikan digesa untuk membuat penjelasan.