KOTA BHARU - Tiga pekerja wanita mengalami detik cemas apabila 'diserang' seorang lelaki tanpa memakai seluar di sebuah kedai telefon di sini pada Rabu.
Detik cemas tersebut tular di media sosial memaparkan video berdurasi 2:10 yang memaparkan seorang lelaki hanya memakai baju T berwarna oren cuba menakut-nakutkan ketiga-tiga wanita berusia 20 hingga 25 tahun tersebut.
Salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Ary berkata, dia tidak sangka dan sangat terkejut dengan tindakan lelaki tersebut ketika datang ke kedai tempat kerjanya kira-kira jam 2.30 petang itu.
"Nasib baiklah kami sempat lari. Saya dan kawan-kawan terus panjat almari kaca tempat letak telefon nak elak daripada lelaki itu.
"Saya juga terjatuh sebab kelam-kabut. Tapi disebabkan terlalu takut, saya terus bangun kerana bimbang kena terkam," katanya ketika ditemui di kedai tersebut pada Khamis.
Menurutnya, walaupun sudah biasa dengan usikan orang kurang siuman sebelum ini tetapi insiden yang dihadapinya itu berlainan daripada kebiasaan.
"Setakat masuk kedai dan keluar semula kalau kami suruh, itu biasa. Tak ada lagi yang mengamuk atau bertindak tidak senonoh macam semalam (Rabu)," katanya.
Katanya, kejadian itu menyebabkan dia trauma dan atas nasihat majikan, dia membuat laporan polis.
Sementara itu, perkongsian video terbabit mendapat pelbagai reaksi dan tidak kurangnya juga menganggap ia sebagai jenaka.