Yahya Sinwar kekal sebagai Ketua Sayap Politik Hamas

Iklan
Yahya Sinwar

GENTING GAZA - Yahya Sinwar kekal memegang jawatan sebagai ketua sayap politik Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza untuk penggal kedua.

Pengumuman itu dibuat jurucakap gerakan itu, Hazim Qasim pada Rabu yang mengesahkan pelantikan Sinwar untuk memimpin biro politik bagi tempoh 2021-2025, sekali gus menjadi pemimpin kedua Hamas paling berkuasa selepas meraih 167 daripada 280 undi.

Iklan
Iklan

Bekas komander sayap tentera Hamas yang pertama kali dilantik pada tahun 2017 itu turut berdepan empat calon lain termasuk pesaing paling sengit, bekas ketua Majlis Shura, Nizar Awadallah hingga menyaksikan dua pusingan undian dijalankan sebelum keputusan dimuktamadkan.

Keputusan yang berpihak kepada Sinwar, 58, turut disambut baik ketua biro politik gerakan itu, Ismail Haniyeh yang menyifatkan ia sebagai kemenangan kepada Hamas.

Iklan

Menurutnya, pemilihan dalaman itu yang berjalan lancar jelas menunjukkan Hamas komited untuk menghadapi Pilihan Raya Parlimen bersama gerakan Fatah dijadualkan pada 22 Mei depan dan disusuli dengan Pilihan Raya Presiden Palestin pada 31 Julai depan yang pertama kali diadakan dalam tempoh 15 tahun.

"Komitmen gerakan ini mengadakan pemilihan dalam untuk tempoh setiap empat tahun menunjukkan kepercayaan mendalam terhadap prinsip penggiliran kuasa," ujarnya yang kini berada di Qatar.

Iklan

Sebelum ini, Sinwar pernah dipenjarakan selama 20 tahun di Israel sebelum dibebaskan di bawah perjanjian pertukaran tahanan pada tahun 2011.

Difahamkan, pemilihan dalaman itu dilakukan anggota Majlis Shura Hamas dan kira-kira 320 ahli layak mengundi manakala calon memerlukan 160 undi untuk meraih majoriti mudah, sekali gus diisytiharkan sebagai pemenang.

Proses pengundian itu juga dilakukan secara rahsia tanpa mendapat liputan secara meluas seperti Fatah yang mentadbir Tebing Barat dan keputusan penuh dijangka diumumkan pada bulan depan. - Agensi