KUANTAN - Setiap pelanggan dibenarkan berada dalam premis makanan di negeri ini hanya untuk tempoh maksimum satu jam.
Langkah tambahan itu dikenakan terhadap operasi premis makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa serta-merta di negeri ini.
Iklan
Iklan
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang dalam satu kenyataan berkata, peraturan itu akan disesuaikan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan Covid-19 di negeri Pahang atau ke satu masa yang akan ditetapkan kelak.
Menurut kenyataan itu, premis yang menjual makanan juga perlu memastikan jarak satu meter antara meja dan kapasitinya bergantung berdasarkan saiz dan penjarakan fizikal satu meter.
"Kapasiti pengunjung perlu dipamerkan di pintu masuk premis dan dipatuhi pada setiap masa bagi memudahkan penguatkuasaan.
"Kerajaan negeri mengingatkan pengusaha-pengusaha premis makanan supaya bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan langkah tambahan itu dipatuhi dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang ingkar," menurut kenyataan itu pada Rabu.