Pewartaan Taman Kinabalu sebagai Global Geopark dihantar ke UNESCO

Iklan
Taman Kinabalu meliputi kawasan seluas 4,750 kilometer persegi.

KENINGAU - Taman-Taman Sabah (TTS) telah menghantar dokumen kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk pewartaan Taman Kinabalu sebagai Kinabalu Global Geopark.

Pengarah TTS, Dr Maklarin Lakim berkata, dokumen itu dihantar pada awal tahun ini selepas Taman Kinabalu kini telah berstatus Geopark Kebangsaan yang memenuhi kriteria untuk dinilai oleh pihak UNESCO.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, UNESCO telah mengesahkan menerima dokumen itu dan kini TTS dalam proses menyiapkan jadual bagi memenuhi kriteria untuk proses penilaian itu.

"Kita berharap selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), apabila ada kebenaran untuk pihak dari luar datang ke Sabah, penilai daripada UNESCO dapat datang dan membuat penilaian (tapak geopark)," katanya di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ulang Tahun Pewartaan Taman Banjaran Crocker (TBC) ke-37 di sini.

Maklarin berkata, bagi memenuhi kriteria penilaian itu, TTS mengadakan pelbagai aktiviti sebagai persediaan seperti yang digariskan oleh UNESCO antaranya menyediakan papan tanda di kawasan yang telah diwartakan sebagai Geopark Kebangsaan.

Iklan

TTS juga menyediakan galeri pameran dan mengadakan kempen komuniti bersama penduduk di kawasan Geopark Kebangsaan.

Pada 2019 Jawatankuasa Pelaksana (JKP) Geopark Kinabalu telah menjalankan penilaian di kawasan Taman Kinabalu meliputi 4,750 kilometer persegi, melawat 16 geotapak, 10 tapak biologi dan enam tapak budaya sebelum diwartakan sebagai Geopark Kebangsaan pada 18 Mac tahun lepas.

Sementara itu Pengurus Taman, Taman Banjaran Crocker (TBC) Justinus Guntabid berkata, menjaga kawasan TBC yang seluas 139,919 hektar amat mencabar terutama ketika berdepan cabaran kekurangan anggota.

"Di sini ada 74 anggota termasuk 10 renjer yang menjaga kawasan yang seluas dua kali ganda Singapura, oleh itu kerjasama daripada semua komuniti sangat diharapkan," katanya.

Katanya, TBC meliputi lapan daerah iaitu Keningau, Tambunan, Ranau, Tuaran, Penampang, Papar, Beaufort dan Tenom. - Bernama