BAGAN SERAI - Sokongan rakyat terhadap program Menteri Besar Perak Bersama Rakyat (Mesra) di daerah Kerian selama tiga hari bermula Selasa lepas merupakan satu petanda positif untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata, ia memberi keyakinan untuk parti itu membuat kejutan pada pilihan raya akan datang di Parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai terutama kerusi-kerusi yang dikuasai parti lawan.
"Sokongan kepada UMNO dan BN nampak semakin positif dan saya kira semakin hari rakyat sudah sedar tentang kerosakan yang telah dilakukan Pakatan Harapan (PH).
"Program turun padang bukanlah program baharu buat kita terutama BN, tetapi apa yang dapat kita lihat dalam tiga hari ini, memang rakyat sudah lama menunggu program seperti ini kerana mereka seolah tiada tempat untuk mengadu.
"Menerusi program Mesra ini, rakyat boleh mengutarakan masalah atau soalan tanpa tapisan untuk dijawab dan diselesaikan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi Parlimen Parit Buntar dimenangi Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dari Parti Amanah Negara (Amanah). manakala kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Amanah).
Bagi kerusi Parlimen Bagan Serai pula, BN menang di tiga kerusi iaitu Parlimen melalui calonnya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; DUN Alor Pongsu serta DUN Selinsing sementara kerusi DUN Gunung Semanggol milik Pas.
Bagaimanapun kesan krisis politik menyaksikan Noor Azmi bersama Abdul Yunus dan Hasnul Zulkarnain menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mengulas lanjut, Sham yang juga ADUN Alor Pongsu berkata, kesiapsiagaan UMNO di kedua-dua bahagian itu ke arah PRU15 sudah mencapai 90 peratus dan diibaratkan hanya menunggu masuk ke gelanggang sahaja.
"Persiapan itu sudah diatur rapi dengan panduan semua ketua-ketua bahagian dan daripada Menteri Besar (Datuk Saarani Mohamad) sendiri selaku Pengerusi UMNO negeri," katanya.
Beliau sebelum itu ditemui pada majlis perasmian penyerahan komputer riba kepada lima pelajar sumbangan QAP Optometrist dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Alor Pongsu dan Sekreatariat Usahawan Negeri Perak (STeP) di Dataran Bagan Serai.
Program berkenaan dirasmikan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan turut dihadiri Pengarah STeP, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli serta Pemilik QAP Optometrist, Mohd Izani Adzhan.