LAPAN pasukan bola jaring bakal berentap pada saingan Netball Super League (NSL) 2021 yang buat pertama kalinya diperkenalkan bermula 19 Mac hingga 11 April depan.
Presiden Persatuan bola jaring Malaysia (PBJM), Alwiyah Talib berkata, NSL 2021 akan menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif dan pertandingan membabitkan sukan itu pada masa akan datang selain menarik minat kaum wanita untuk menjadikan bola jaring sebagai karier sukan mereka.
"Kami amat berharap dengan bermulanya era ‘super league’ ini dapat menarik lebih ramai pemain muda kita yang berminat dengan bola jaring.
"Dengan NSL ini juga saya berharap bola jaring akan menjadi salah satu sukan yang diminati oleh para wanita di setiap lapisan masyarakat sehingga ke peringkat dunia,” katanya dalam sidang media selepas majlis undian NSL 2021 pada Khamis.
Format NSL 2021 menyaksikan lapan pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan dan dua pasukan teratas kumpulan akan berentap di peringkat separuh akhir.
Perlawanan akan berlangsung pada Jumaat, Sabtu dan Ahad di Stadium Juara, Bukit Kiara yang turut disiarkan menerusi saluran Astro Arena 802HD dan platform digital. - Bernama
Undian NSL 2021:
Kumpulan A
Perak Phoenix
Melaka Mystic
KL Wildcats
Kedah Sunshine
Kumpulan B
Johor Jewel
Pahang Tulips
Negeri Sembilan Venom
Selangor Angels