SEKALI lagi kita dikejutkan dengan isu halal yang mengundang kemarahan rakyat Malaysia beragama Islam. Apa yang kita harus tahu dan sedar – sesuatu barang itu bermula daripada bahan mentah hingga menjadi barang siap adalah bergerak dalam satu sistem yang melibatkan banyak pihak dan organisasi.
Ia melibatkan pelbagai aktiviti seperti pengangkutan, pergudangan, pembungkusan, pelabelan, dan pengurusan inventori. Hubungan antara pelbagai pihak dan aktiviti inilah yang disebutkan sebagai rantaian bekalan. Apabila pergerakan barangan ini melibatkan barangan halal, maka ia dikenali sebagai Rantaian Bekalan Halal.
Ia bermaksud status halalnya terjamin bukan hanya sewaktu pembuatan, tetapi juga pergerakan dari tempat pembuatan hinggalah sampai ke pengguna. Bagi memastikan pematuhan syariah sesuatu produk kekal dari tempat ia dibuat di kilang sehingga ia dihantar kepada pengguna untuk digunakan, tanggungjawabnya bukanlah terletak hanya pada satu pihak.
Rantaian Bekalan Halal akan menjadi lebih kompleks apabila ia melibatkan import dan eksport kerana operasinya melibatkan pihak dalam negara dan luar negara sebelum sampai ke tangan pengguna. Oleh itu, apabila sesuatu kepincangan berlaku pada produk, ia bermakna kita perlu menyemak di sepanjang rantaian bekalan.
Berdasarkan penyelidikan yang telah kami jalankan sejak tahun 2017 khusus ke atas fasilitasi perdagangan untuk barangan halal, kami mendapati beberapa kelemahan berlaku dari aspek kawalan, pemantauan dan pengendalian kemasukan barangan halal di sempadan. Kajian meliputi beberapa pintu masuk negara iaitu di sempadan Malaysia-Thailand, Pelabuhan Kelang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Setelah dilihat kepada keseluruhan operasi rantaian bekalan yang melibatkan perdagangan halal secara amnya dan isu pengimportan daging sembelihan secara khususnya, beberapa kesimpulan dapat dibuat.
Pertama, fungsi agensi-agensi berkaitan jelas menunjukkan bahawa isu kawalan perdagangan halal yang melibatkan aktiviti import dan eksport masih lemah.
Penguatkuasaan aktiviti perdagangan halal tidak terletak sepenuhnya di dalam bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menyemak sijil halal daging import sahaja. Penguatkuasaan ini perlu diperkukuhkan lagi melalui lantikan agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau agensi yang mempunyai kapasiti pengetahuan dan pengalaman khusus dalam mengawal produk halal di sempadan dan di pintu masuk.
Mekanisme
Kedua, mekanisme prosedur kawalan daging halal di sempadan perlu dinilai semula. Ketika ini kawalan yang dilaksanakan tertakluk kepada prosedur import Maqis iaitu melalui pengesahan sijil halal dan pemeriksaan fizikal barangan dagangan. Pelaksanaan prosedur itu memastikan hanya sijil halal yang dikeluarkan oleh 84 badan persijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim yang diiktiraf di Malaysia.
Ketiga, prosedur kawalan halal dalam aktiviti import kategori makanan yang telah diproses juga tidak jelas. Walaupun, logo halal negara pengeluar yang diiktiraf oleh Jakim di letakkan pada pembungkusan makanan tersebut, tetapi tiada prosedur susulan daripada mana-mana agensi untuk mengenalpasti keaslian dan kebenaran logo yang diletakkan ke atas produk.
Keempat, pemeriksaan fizikal dan operasi pengesahan kandungan konsainan import halal juga tidak dapat dilaksanakan di sempadan. Ia disebabkan ketiadaan fasiliti untuk mengesan dan membezakan barang makanan halal atau haram yang memasuki negara kita.
Kelima, pengetahuan agensi sedia ada yang ditugaskan untuk mengawalselia juga bukanlah agensi yang terlatih dan arif tentang isu patuh syariah.
Keenam, perkara-perkara yang berlaku di atas menunjukkan keperluan Akta Halal yang mendesak bagi membolehkan Jakim bertindak sebagaimana perlu seperti menetapkan prosedur dan polisi impot barangan halal.
Sejak 2009, tiada pertambahan staf dalam bahagian Pengurusan Halal Jakim. Sudah tiba masa kita bertindak sewajarnya sekiranya kita tidak mahu perkara yang sama berlaku berulang kali.
* Profesor Madya Dr Harlina Suzana Jaafar ialah Koordinator Pusat Pengurusan Halal dan dan Inovasi Perniagaan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara. Penulis ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pelajar PhDnya, Nor Bakhriah Sarbani yang sama-sama menyemak fakta dan cadangan yang dikemukakan di sini.