SHAH ALAM - Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA) berharap agar Kerajaan Selangor dapat memberikan pengecualian cukai dan lesen perniagaan secara bersasar khususnya melibatkan industri pelancongan.
Presidennya, Dr Fathir Badri Alhadad berkata, sebelum ini perkara itu pernah dibincangkan bersama Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian pada 11 Januari lalu namun masih belum mendapat sebarang perkembangan sehingga kini.
Fathir berkata, buat masa ini, hanya pengusaha taman tema di negeri ini yang diberikan pengecualian penuh Duti Hiburan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Jika kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan inisiatif ini, ia akan membantu penggiat industri untuk menyusun semula strategi perniagaan masing-masing
"Ini sekali gus akan meningkatkan kembali keupayaan dan kestabilan perniagaan mereka untuk tahun mendatang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, SAFTTA turut menyambut baik pengumuman Kementerian Tenaga dan Sumber Asli berhubung lanjutan inisiatif pengecualian dan pemberian diskaun 50 peratus bayaran sewa kepada penyewa tanah Persekutuan serta penyewa bangunan Persekutuan sehingga 30 Jun ini.
Katanya, inisiatif itu amat bertepatan bagi membantu pihak industri memandangkan Selangor masih lagi berada dalam tempoh pelaksanaan PKP.
"Pada masa ini, ada beberapa negeri masih terbatas pergerakan dan ini sememangnya menyukarkan urusan perniagaan mereka," katanya.