KUALA TERENGGANU - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Terengganu membantu seramai 402 individu yang terkesan dengan pandemik Covid-19 pada tahun ini melalui 10 siri Program Musa’adah Covid-19 di negeri ini.
Pengarahnya, Nasrul Hadi Saidin berkata, bantuan berupa barangan keperluan harian itu melibatkan peruntukan sebanyak RM18,894 dan ia diberikan kepada golongan memerlukan seperti nelayan dan asnaf yang lain.
Terbaharu katanya, Yadim Terengganu membantu 67 pemandu dan pengusaha van sekolah di Kemaman serta Dungun yang terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi memutuskan rantaian Covid-19 pada Isnin lalu.
"Kita harap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka dalam menjalani kehidupan dan program ini akan diteruskan lagi bagi kelompok penerima yang lain pula,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Nasrul Hadi berkata, selain Musa’adah Covid-19 pihaknya turut menyantuni penduduk yang terjejas banjir melalui misi Musa’adah Banjir melibatkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM38,000.
Katanya, program sebanyak 15 siri yang digerakkan selama empat bulan bermula Oktober itu memberi manfaat kepada mangsa banjir di sekitar Kemaman, Dungun, Besut dan Kuala Terengganu.
Sementara itu seorang penerima, Suzimami Hassan, 39, yang sudah enam tahun bekerja sebagai pemandu van sekolah di Kemaman bersyukur dengan bantuan diberikan Yadim Terengganu.
Dia yang mempunyai lima anak berkata, pandemik Covid-19 menguji kehidupan mereka sekeluarga apabila hilang punca pendapatan apatah lagi suaminya juga bekerja sebagai pemandu van sekolah.
"Suami terpaksa cari kerja lain dan dari segi bantuan, alhamdulillah banyak pihak yang prihatin. Bekalan makanan memang banyak dapat, ini sedikit sebanyak membantu kami sekeluarga,” katanya.