ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengambil masa selama 19 jam memadamkan kebakaran dua buah kilang termasuk kilang perabot di Jalan Batu 5, Kuala Ketil, di sini pada Khamis.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kebakaran lebih kurang jam 2.53 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota termasuklah pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, BBP Yan dan BBP Sungai Petani tiba di lokasi kejadian bersama jentera.
"Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah kilang perabot kelas A dan turut melibatkan sebuah lagi kilang.
"Pada permulaan, hampir 55 peratus daripada keseluruhan kilang yang memiliki serbuk kayu dan kertas yang dimampatkan telah terbakar," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman dengan membahagikan kepada empat sektor utama sebelum proses pemadaman digiatkan dengan pembahagian kepada 12 sektor kecil.
Menurutnya, pihaknya dapat mengawal kebakaran kira-kira jam 12.18 tengah malam dan kerja-kerja pemadaman masih dilaksanakan di kilang tersebut.
"Setakat jam 10 pagi tadi, api struktur telah dipadamkan sepenuhnya manakala masih ada 40 peratus api dalam bangunan melibatkan bahan dalaman," katanya.
Menurut beliau, hampir 70 peratus daripada keseluruhan bangunan telah terbakar namun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Bagaimanapun, Syufaat memaklumkan tiada mangsa yang terperangkap atau tercedera sehingga kini.
Katanya, seramai 52 anggota dan pegawai pelbagai pangkat dengan kekuatan tujuh jentera dan enam kenderaan utiliti dibantu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain pihak terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran yang masih berjalan ketika ini.