KAJANG - Sebanyak 21 Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di negeri ini mendesak agar kerajaan kekal dengan pendirian yang menolak sebarang bentuk amalan ideologi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Setiausaha Kerja Persatuan Intelektual Muslim Malaysia, Marwan Mohd Khir berkata, Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan turut mendesak agar siasatan yang menyeluruh dan segera diambil oleh pihak polis bagi memastikan pihak yang terlibat dengan kegiatan persetubuhan luar tabii ini dapat dihadapkan ke muka pengadilan.
"Sebarang bentuk amalan ideologi golongan LGBT perlu ditentang kerana melanggar fitrah manusia dari perspektif agama dan juga sains.
"Perkara ini sekali gus tidak sesuai untuk diamalkan di Malaysia yang berpegang teguh kepada nilai-nilai moral berlandaskan adat, budaya dan agama," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada Jumaat.
Marwan berkata, pihaknya turut mendesak agar kes melibatkan Iki Putra Mubarak yang dituduh dengan kesalahan cubaan melakukan persetubuhan di luar tabii terus disiasat di bawah Kanun Keseksaan.
"Kes ini perlu dibicarakan di Mahkamah Syariah, Iki Putra Mubarak dan pihak lain yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral ini tidak wajar dibiarkan begitu sahaja.
"Kami turut kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu yang memutuskan bahawa peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berhubung dengan kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii adalah tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan," katanya.
21 NGO Islam di negeri ini tampil membuat laporan polis bagi menyokong satu lagi laporan polis yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Iki Putra Mubarak.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mahu kes melibatkan Iki Putra Mubarak yang dituduh dengan kesalahan cubaan melakukan persetubuhan di luar tabii terus disiasat oleh polis di bawah Kanun Tatacara Jenayah.
25 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang Iki Putra Mubarak terhadap Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan sekali gus mengetepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.
Iki Putra Mubarak sebelum ini didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor.