Muhyiddin dijangka rasmi Persidangan Nasional Gerakan esok

Iklan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang ke-49 esok (Sabtu).

Menurut kenyataan Gerakan pada Jumaat, persidangan akan berlangsung secara hibrid dengan kehadiran fizikal di Dewan Wawasan Tun Dr Lim Keng Yaik, Menara PGRM serta secara maya.

Iklan
Iklan

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dijadual merasmikannya secara maya.

Parti Gerakan diterima menganggotai gabungan PN secara rasmi pada 11 Februari lalu, selepas diluluskan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi PN.

Iklan

Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong sebelum ini dilaporkan berkata, persidangan itu akan berlangsung selama dua hari, bermula dengan persidangan Pemuda dan Wanita pada malam ini (12 Mac).

Ini akan disusuli Persidangan Perwakilan Nasional pada Sabtu yang didahului dengan ucapan alu-aluan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebelum perasmian oleh Muhyiddin.

Iklan

Antara agenda persidangan ialah cadangan pindaan perlembagaan parti melibatkan Artikel 5 dan Artikel 6 yang berkaitan emblem dan bendera parti; serta Artikel 9.1 untuk membuka keahlian kepada individu berusia 16 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini.

Menurut kenyataan itu, Gerakan juga akan melancarkan Skuad Satu Hati. - Bernama