KUALA TERENGGANU - Musim panas di Terengganu beserta air pasang surut umpama peluang keemasan buat penduduk di Kampung Pulau Manis, Serada mencari etok di sepanjang sungai Terengganu.
Program mencari etok pada Khamis yang dianjurkan urusetia Kalang Warisan di sini disertai seramai 30 peserta terdiri dalam kalangan penduduk setempat termasuk dari daerah Kuala Nerus dan Marang.
Hasil pencarian sekitar tiga jam bermula jam 10 pagi itu berjaya mengutip sebanyak 80 kilogram etok untuk dibawa pulang dan dijadikan juadah dinikmati bersama seisi keluarga.
Seorang penduduk, Mohd Che Embong, 62, berkata, kebiasaannya aktiviti mengutip etok dilakukan ketika air pasang surut bermula bulan Februari hingga Jun.
"Aktiviti mencari etok menjadi rutin bagi penduduk yang tinggal di tepi sungai di Terengganu malah ia menjadi sumber makanan utama penduduk yang tinggal di kawasan ini suatu ketika dahulu.
"Banyak cara digunakan untuk menangkap etok sama ada menggunakan sangkar, jaring atau beberapa peralatan yang mudah untuk dibawa bersama ketika menangkap etok," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zakaria Abdul Malik berkata, bagi beliau rasa etok yang manis amat serasi sekiranya dimasak gulai kuning.
"Selain dimasak salai atau rebus bersama serai, saya lebih suka etok masak gulai kuning malah kebanyakan penduduk sekitar tempat ini pun gemar memasak menu itu untuk dimakan bersama nasi," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Borhanudin Mohd Yusof@Mohamed, 42, berkata, dia membawa anak dan isterinya untuk merasai sendiri pengalaman mencari etok.
"Saya belum pernah merasai sendiri pengalaman mencari etok di sungai.
"Bagi saya, ia adalah satu pengalaman yang menyeronokkan lebih-lebih lagi jika dilakukan bersama ahli keluarga," katanya.