BAHAU - Peserta Felcra Rompin B yang belum menerima bayaran duit sara hidup dinasihatkan supaya bersabar selain beri kepercayaan kepada kerajaan dan pengurusan Felcra Berhad untuk menyelesaikan isu tersebut secara bijaksana.
Pengerusi Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) Felcra Rompin B, Hashimuddin Udin berkata, bayaran sara hidup tidak dapat dibayar tepat pada masanya kerana agensi berkenaan dipercayai berdepan dengan kekangan kewangan.
"Kami telah dimaklumkan mengenai keadaan kewangan Felcra yang meruncing telah menyebabkan pengurusan agensi itu mengambil keputusan menangguhkan dahulu bayaran tersebut.
"Perkara tersebut dimaklumkan ketika saya dan Jawatankuasa Kemajuan Projek (AJKKP) berjumpa dengan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Peserta Felcra , Datuk Hazrinorhisham Harun pada pertengahan bulan Disember tahun lalu,” katanya dalam satu sidang media khas di Pejabat PKR Jempol, semalam.
Hadir sama, Ketua Cabang PKR Jempol, Karip Mohd Salleh.
Beliau berkata, penangguhan tersebut dibuat sehingga satu keputusan baharu diputuskan oleh pengurusan tertinggi nanti.
"Felcra telah memberi komitmen untuk membantu semua peserta dan telah dibuktikan dengan bayaran sebanyak RM1,050 pada awal Januari lalu untuk bantuan persekolahan anak-anak.
"Saya harap semua peserta dapat bersabar dan terus memberikan kepercayaan kepada kerajaan serta Felcra untuk menyelesaikan perkara ini sebaiknya,” katanya.
Dalam pada itu, Hashimuddin turut menyatakan kesal dengan kenyataan media yang dibuat oleh beberapa peserta di kawasan berkenaan bagi mendesak pihak Felcra dan kerajaan mengambil tindakan mengenai masalah bayaran sara hidup pada 24 Januari lalu.
Terdahulu, seramai 98 peserta Felcra Rompin B di sini tidak menerima bayaran sara hidup sebanyak RM800 sebulan sejak Oktober tahun lalu.
Masalah itu kemudiannya mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddun Harun.
Beliau berkata, bantuan sara hidup kepada peserta Felcra bukan dihentikan, sebaliknya kelewatan bayaran berlaku disebabkan ada beberapa masalah yang perlu Felcra atasi terlebih dahulu.