Dua anak hidap jantung berlubang

Iklan
Hariz hanya makan dan minum menggunakan tiub khas

JENGKA - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Bergelar ibu tunggal di usia yang muda dan kini berdepan ujian getir apabila dua anak lelakinya disahkan sakit jantung berlubang sejak lahir.

Itu situasi yang dihadapi Normala Syakila Arman, 21, dari Perumahan Kilang Sawit Jengka 8 tabah berdepan dugaan selepas dua anaknya, Muhammad Haraz Asyraf Abdul Hafiz ,1 dan Muhammad Hariz Asyraf, 2 bulan menghidap penyakit tersebut.

Iklan
Iklan

Lebih menyayatkan hati, Hariz turut mengalami bengkak hati dan terpaksa menerima makanan dan minuman menerusi tiub khas.

Kini anak kedua daripada lapan beradik itu terpaksa bergantung hidup kepada kedua ibu bapanya, Arman Isnin, 45, dan Norkumalasari Chik, 40 sejak berpisah dengan suaminya tahun lalu.

Iklan

"Saya terpaksa bergantung kepada ibu bapa dan tidak dapat bekerja sejak setahun lalu kerana perlu berikan perhatian dan penjagaan rapi kepada anak-anak.

"Saya memang bergantung kepada ayah yang bekerja sebagai operator kilang. Ayah pun perlu tanggung empat lagi adik yang masih bersekolah,"katanya kepada Sinar Harian,semalam.

Hariz hanya makan dan minum menggunakan tiub khas

Iklan

Ujarnya, kisahnya pernah mendapat pendedahan beberapa media tempatan sebelum ini dan akui menerima beberapa sumbangan daripada pelbagai pihak.

"Ada yang datang ke rumah sumbangkan susu, lampin pakai buang serta keperluan lain selain ada yang menelefon meminta nombor akaun untuk menyalurkan duit.Terima kasih kepada mereka yang sudi membantu saya dan anak-anak.

"Memang saya hargai bantuan mereka. Buat masa ini saya perlukan bantuan kewangan terutamanya ketika membawa anak-anak menjalani rawatan ke Institut Jantung Negara(IJN) dan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh," katanya.

Wanita ini mengakui bertuah kerana bapanya banyak membantu selain ibunya, Norkumalasari yang menjadi pemandu jika mereka ke hospital untuk rawatan susulan.

"Ibu yang memandu dan membawa kami anak-beranak kerana ayah perlu bekerja, bukan ke Hoshas malah ke IJN, Kuala Lumpur," katanya.

Ditanya mengenai keadaan anaknya, Normala memberitahu, Haraz sebelum ini mempunyai tiga lubang pada jantungnya dan dua telah ditutup selepas menjalani pembedahan pada Mei tahun lalu.

"Hariz hanya ada satu lubang dan akan membuat rawatan pada 28 Februari ini. Buat masa ini berat badannya perlu naik tetapi saya tak mampu nak beli susu formula khas, harganya mahal.

"Sekarang ini beratnya, 4.2 kilogram (kg) dan beratnya kena capai 4.5kg kalau tak naik juga kena tangguh lagi.

"Saya memerlukan lebih RM1,000 sebulan untuk perbelanjaan makanan dan kos rawatan kedua-dua anak ini," katanya.

Menurutnya, dia pernah menerima bantuan zakat RM1,000 tahun lalu dan duit tersebut telah habis digunakan untuk perbelanjaan kedua-dua anaknya.

"Walaupun saya berdepan ujian ini, saya reda dan akan terus berusaha dengan harapan kedua-dua anak ini akan sembuh dan sihat seperti kanak-kanak lain," katanya.

Sementara itu, Norkumalasari memberitahu dia dan suaminya tidak pernah menganggap perkara itu sebagai bebanan besar buat mereka sebaliknya akan cuba membantu selagi mampu.

"Sebagai ibu dan nenek kepada dua cucu, saya akan terus berusaha untuk membantu dengan kudrat yang ada," katanya.

Orang ramai yang sudi menghulur sumbangan boleh menghubungi Normala di talian 0142191292 atau menyalurkan bantuan secara terus melalui akaun Bank Islam 06037023296993 atas nama Normala Syakila.