MELAKA - Seorang pekerja am didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat kerana menjual produk perangsang seks yang tidak berdaftar.
Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Muaz Anuar, 29, selepas tertuduh membuat pengakuan terhadap pertuduhan dibacakan kepadanya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menjual produk yang bukan keluaran berdaftar sebanyak satu kotak kepada seorang lelaki berusia 31 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 11.55 pagi sehingga 12 tengah hari di dalam kereta jenis Proton Saga di hadapan sebuah stesen minyak di Telok Mas pada 10 Ogos 2020.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1), peraturan yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Tertuduh yang diwakili Peguam S Daniel merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pekerja am dan kejadian itu merupakan kesalahan pertamanya selain perlu menanggung keluarga.
Pegawai Pendakwa Farmasi, Nurul Syazwani Zaini bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500 atau tujuh hari penjara jika gagal bayar dan tertuduh membayar denda tersebut.