Empat lelaki rentas negeri cuba rasuah polis

Iklan
Mior Faridalathrash memeriksa salah sebuah kenderaan yang melalui SJR Ipoh Selatan pada Jumaat.

IPOH - Empat lelaki ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila cuba merasuah polis ketika melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungkai di sini pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu pemandu warga tempatan berusia 47 tahun dan tiga warga Bangladesh dalam perjalanan menuju ke Teluk Intan.

Iklan
Iklan

"Suspek yang gagal mengemukakan surat kebenaran merentas negeri cuba memberi sogokan berjumlah RM150 kepada anggota polis bertugas.

"Susulan tindakan itu, kesemua suspek ditahan untuk tindakan lanjut. Semakan mendapati tiga warga asing itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya ketika ditemui pada lawatan kerjanya di SJR Tol Ipoh Selatan, di sini pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba merasuah dan sengaja mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan.

Mior Faridalathrash berkata, sebanyak 9,095 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP bermula 18 Mac 2020 hingga Khamis.

Iklan

"Sehingga hari ini sebanyak 33 lokasi SJR didirikan termasuk empat SJR Op Benteng dengan kekuatan seramai 290 pegawai polis dan 209 orang daripada pasukan sahabat.

"Sebanyak 457 pasukan pemantauan pematuhan digerakkan seluruh negeri bagi memantau SOP di premis dan tempat tumpuan ramai,” katanya.

Katanya, tahap pematuhan yang direkodkan adalah 96 peratus dan 252 kompaun dikeluarkan bermula Jumaat hingga Khamis.