BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) melancarkan Program Inisiatif Stakeholder Declaration Anti Rasuah (i-SDAR) sebagai usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa di pintu sempadan negara.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, program tersebut adalah usaha Maqis melibatkan ejen, pengimport dan pengeksport yang berikrar mewujudkan amalan perniagaan bebas rasuah.
Iklan
Iklan
Menurutnya, dengan ikrar tersebut, pemegang taruh dapat meningkatkan nilai integriti bersama-sama.
"Sepanjang tahun 2020, Maqis telah menguruskan 720,000 permit iaitu 230,000 melibatkan permit import dan 490,000 pula melibatkan permit eksport barangan pertanian.
"Bagi jumlah pemeriksaan yang telah dibuat pada 2020 adalah melibatkan 429,000 pemeriksaan meliputi 116,000 terhadap konsainan import dan 313,000 konsainan eksport," katanya selepas melancarkan i-SDAR di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, i-SDAR secara tidak langsung boleh memantapkan integriti dan hubungan baik bersama pemegang taruh disebabkan oleh nilai pemeriksaan dan jumlah perdagangan yang banyak.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan di semua pintu masuk negara bagi keluaran pertanian dan eksport.