Ekzos bising: Tindakan saman berat sebelah, zalimi penunggang

Iklan
Fahami Ashrof (duduk, tengah) menunjukkan bukti saman kesalahan ubah suai ekzos yang dilihat menzalimi pemilik kenderaan terutama golongan muda,

SHAH ALAM – Tindakan pihak berkuasa mengeluarkan saman terhadap pemilik kenderaan yang mengubah suai ekzos bising dilihat berat sebelah dan menzalimi pengguna jalan raya terutama golongan muda, kata Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4BM), Fahami Ashrof Badaruddin.

Menurutnya, pihak kerajaan seharusnya memupuk kesedaran masyarakat khususnya golongan belia berkenaan isu tersebut melalui pendekatan pendidikan.

Iklan
Iklan

"Di musim pandemik Covid-19 yang masih belum reda dengan kadar pengangguran yang tinggi, tentunya ramai menghadapi kesusahan berganda disaman dalam operasi ubah suai ekzos yang dijalankan.

"Saya beranggapan bahawa jika pihak kementerian, kerajaan atau polis sekali pun memberi tempoh tiga sehingga enam bulan kerana kita sedang berdepan dengan pandemik.

Iklan

"Masih ramai yang tukar ekzos pakai duit, bila nak tukar (ekzos) asal balik nak pakai duit. Ada belia yang masih belum ada pekerjaan, jadi kita minta pada kerajaan untuk memberi pendidikan dalam tempoh tiga ke enam bulan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat GB4BM Kuala Lumpur pada Jumaat.

Fahami turut mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mengambil perhatian terhadap saranan seperti memantau dan mengambil tindakan terhadap penjual serta pembekal ekzos ‘plug and play’ yang diimport.

Iklan

Menurutnya, jika pihak kerajaan serius untuk memerangi isu berkenaan, lesen kebenaran pembekal import wajar digantung.

"Pemantauan barangan berkenaan yang mungkin disyaki masuk melalui pasaran gelap juga perlu dipertingkatkan.

"Jika terjadi dan tidak turut sama diambil tindakan, ia boleh menimbulkan keraguan terhadap integriti pihak berkuasa.

"Tindakan meletakkan kesalahan hanya kepada pengguna tanpa mendorong kepada menutup punca-punca berlakunya perkara ini dilihat tidak saksama,” ujarnya.

Pada 22 Februari lalu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ekzos bising boleh dikenakan denda, penjara