Mahkamah arah kelasi warga Ukraine ditahan dua bulan

Iklan
Salah seorang kelasi Ukraine yang ditahan diringi ke mahkamah. - Foto AFP
SIMFEROPOL - CRIMEA. Mahkamah di Crimea, semalam mengarahkan kelasi warga Ukraine yang ditahan susulan konfrontasi dengan pengawal sempadan laut Rusia ditahan selama dua bulan, langkah yang dilihat semakin meningkatkan ketegangan antara Moscow dan Kiev.

Mahkamah di Simferopol mengarahkan 12 daripada mereka ditahan selama dua bulan dalam penahanan praperbicaraan, sementara yang lain dihadapkan di mahkamah hari ini.

"Kami tidak setuju dengan keputusan itu, kami anggap ia tidak berasas dan tidak mengikut undang-undang,” kata peguam seorang daripada kelasi itu, Aider Azamatov, di luar mahkamah, menambah beliau akan mengemukakan rayuan dalam masa tiga hari.

Moscow dilaporkan menahan 24 kelasi sejak Ahad lalu, selain merampas tiga kapal Ukraine di luar pantai Crimea, ia sekali gus mencetuskan konflik antara kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu.

[ARTIKEL BERKAITAN:Konflik Ukraine-Rusia mampu cetus perang]

http://www.sinarharian.com.my/global/konflik-ukraine-rusia-mampu-cetus-perang-1.909586

Rusia menolak desakan untuk membebaskan kelasi terbabit yang didakwa menceroboh perairan Rusia dan tidak mengendahkan amaran pengawal sempadannya.

Penahanan itu menimbulkan kemarahan Kiev, yang menuntut pembebasan semua kelasi berkenaan dan menggesa sekutu Baratnya mengenakan sekatan ke atas Moscow. - AFP