KLANG - Pelbagai kaedah dan cara digunakan penyeludup bagi memastikan barangan terlarang dapat diseludup keluar negara.
Terbaharu, rangkaian pengedaran dadah di negara ini menyamar sebagai nelayan tempatan bagi ‘mengeksport’ dadah ke negara jiran.
Mendedahkan modus operandi terbaharu itu, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, berdasarkan risikan maklumat dan tangkapan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Selangor dijadikan negeri transit bagi membawa keluar dadah ke Indonesia.
Menurutnya, sindiket itu menggunakan bot fiber yang berkuasa rendah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Bot jenis ini lazimnya digunakan oleh nelayan tradisional,” katanya.
Menurutnya, dadah yang dibawa akan disembunyikan di dalam tong ikan atau tong berisi ais, jaring dan peralatan menangkap ikan yang lain.
"Dadah ini akan diserahkan kepada sindiket negara jiran yang menunggu di sempadan perairan,” katanya kepada Sinar Harian dalam temubual khas di Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor baru-baru ini.
Jelasnya, penyeludupan dadah berbeza dengan penyeludupan rokok kerana bahan itu dibawa masuk dengan menggunakan bot berkuasa tinggi disebabkan muatan yang lebih banyak dan perlu dilakukan segera.
Mohammad Rosli berkata, pergerakan penyeludupan dadah ini berlaku pada waktu malam hingga subuh kerana pergerakan dalam keadaan gelap akan menyukarkan penglihatan anggota penguatkuasaaan.
"Dadah yang dibawa keluar ini adalah melibatkan jenis dadah sintetik iaitu syabu berikutan faktor keuntungan yang diperoleh berlipat kali ganda.
"Malah, kuantiti dadah yang dibawa juga boleh mencecah berat sehingga 10 kilogram (kg) hingga 50kg,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Rosli berkata, selain itu, beberapa taktik lain turut dikesan iaitu dengan menggunakan bot nelayan kelas A, B atau C.
Katanya, bot nelayan ini sukar dikesan kerana mereka melakukan penangkapan ikan di sempadan perairan Malaysia dan Indonesia selain faktor terlalu banyak jumlah bot berkenaan di kawasan itu pada satu-satu masa.
"Selain itu, Maritim Selangor juga mengesan taktik tekong bot dari Indonesia melakukan dua kerja dalam satu-satu masa.
"Mereka menceroboh perairan negara dengan membawa warga asing bersama dadah untuk dibawa pulang ke negara republik itu.
"Sindiket ini arif dan mengetahui selok-belok kedudukan perairan negara terutama di Selangor. Dadah akan diletakkan di satu tempat yang tersorok di kawasan pokok bakau sebelum diambil oleh bot yang datang dari Indonesia,” katanya.
Selain menggunakan bot nelayan, beliau berkata, sindiket juga kerap menggunakan bot kecil yang digunakan pemancing.
Katanya, sindiket akan menyamar sebagai pemancing yang menunggu di sempadan perairan negara sebelum menyerahkan bekalan dadah kepada bot sindiket dari Indonesia bagi proses transaksi.
"Baru-baru ini hasil kerjasama dengan Jabatan Kastam, kita berjaya menahan suspek yang menaiki sebuah kereta di Tanjung Layang, Selangor.
"Pemeriksaan mendapati dadah jenis syabu disorokkan dalam pembesar suara radio di bahagian belakang. Kita percaya suspek dalam perjalanan untuk menyerahkan dadah itu di persisiran pantai,” katanya.
Upah lumayan
Mohammad Rosli berkata, siasatan mendapati orang tengah atau keldai dadah ini akan diberi upah sekitar RM10,000 hingga RM30,000 bergantung kepada kuantiti dadah yang dibawa.
"Kita percaya ada dalam kalangan ahli sindiket berperanan menggunakan keldai dadah dengan mengambil kesempatan terhadap kesempitan hidup mereka.
"Maritim juga percaya kebanyakan mereka yang mengambil upah itu terdiri daripada warga tempatan,” katanya.
Jelasnya, kegiatan penyeludupan syabu ini berlaku disebabkan harga yang rendah di pasaran tempatan namun boleh mencecah tiga kali ganda di Indonesia.
Dalam pada itu, beliau percaya sindiket juga mengupah tonto darat bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.
"Sepanjang tangkapan yang dibuat, kita dapati tiada tonto air atau sapu air (pengawal) yang digunakan sindiket tapi mereka menggunakan khidmat tonto darat bagi memerhati pergerakan pihak berkuasa.
"Kita percaya sekiranya sindiket guna perkhidmatan tonto air, kegiatan haram mereka lebih mudah dikesan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya yakin kegiatan penyeludupan dadah itu membabitkan sindiket dalam dan luar negara.
"Berdasarkan maklumat kita, ada antara dalang kegiatan ini terdiri daripada suspek berstatus pemastautin tetap (PR) kerana mereka mudah bergerak keluar dan masuk negara.
"Malah mereka ini juga boleh berselindung di sebalik pekerjaan yang sah,” katanya.
Tambah Mohammad Rosli, bagi dalang yang terdiri daripada warga tempatan, mereka ini juga dikesan berselindung di sebalik peniagaan yang diusahakan.
Katanya, pada tahun 2019, empat kes direkodkan membabitkan empat tangkapan oleh pihaknya.
"Sebanyak 50kg dadah jenis syabu bernilai RM2 juta telah dirampas dalam operasi di Batu Laut, Pulau Ketam, Tanjung Layang dan Sungai Blankan.
"Sebuah kereta selain dua bot fiber turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.
Bagaimanapun, pada tahun 2020, tiada kes direkodkan kerana sekatan jalan raya (SJR) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 yang meminimumkan pergerakan.
"Tapi kita tidak nafikan kegiatan penyeludupan dadah tetap berlaku berdasarkan tangkapan yang dibuat di Johor misalnya,” kata beliau lagi.
18 lokasi panas
Sementara itu, Mohammad Rosli menjelaskan, pihaknya turut mengesan 18 lokasi panas yang menjadi pilihan sindiket bukan sahaja melibatkan dadah tapi menjadi pintu masuk kepada rokok dan pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Selangor memiliki keluasan 281 kilometer panjang persisiran pantai dengan keluasan laut 7,260 kilometer persegi.
"Sebagai langkah keselamatan dalam memastikan keamanan negara, kita memperketatkan rondaan, mempertingkatkan risikan selain pemantauan yang kerap di persisiran pantai terutama di lokasi panas,” katanya.
Terbaharu katanya, pihaknya mengesyaki ada cubaan membawa keluar dadah menggunakan bot barter trade yang membawa muatan barang dalam kuantiti yang besar.
"Bot ini membawa muatan barangan yang banyak dan kalau sorok dadah dalam itu, sudah tentu sukar untuk kita kesan. Bagaimanapun, kita tetap berwaspada dengan apa sahaja taktik sindiket dalam usaha kita membanterasnya,” katanya.
Justeru, pihaknya sentiasa menjalin kerjasama melalui pertukaran maklumat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia termasuk agensi penguat kuasa tempatan lain serta penguat kuasa dari Indonesia.
"Setiap pergerakan penyeludup dari Indonesia yang terlepas dari pemantauan pihak berkuasa Indonesia akan disalurkan kepada Maritim Malaysia untuk diambil tindakan begitu juga dari negara ini.
"Kerjasama ini membuahkan hasil di mana setiap maklumat yang disalurkan mendapat kejayaan melalui tangkapan,” katanya.
Terima ugutan
Mengulas sama ada pihaknya menerima ugutan sindiket dadah, Mohammad Rosli mengakui perkara itu pernah dilaporkan berlaku.
"Ada juga pegawai kita menerima ancaman berbentuk ugutan daripada ahli sindiket susulan rampasan dadah.
"Tapi ia sedikit pun tidak mematahkan semangat untuk membanteras penyeludupan najis dadah,” katanya.
Justeru, Mohammad Rosli berkata, pegawai atau anggota sering diingatkan untuk tidak bersekongkol dengan sindiket terlibat dan sekiranya dikesan, tindakan tegas tanpa sebarang kompromi akan diambil terhadap mereka.
"Jenayah dadah adalah ancaman kepada negara dan pelaku boleh dikenakan tindakan hukuman mati.
"Kita juga mahu masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah di perairan negara untuk menyalurkan kepada Maritim Malaysia atau agensi penguat kuasa lain yang terlibat,” katanya.