SHAH ALAM - Prestasi tidak memuaskan bagi sesetengah anggota Kabinet dalam kerajaan PH yang baharu hampir setahun mengambil alih pentadbiran negara adalah perkara normal.
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, ini kerana tempoh setahun merupakan waktu munasabah untuk proses pemantapan sesebuah kerajaan baharu.
Katanya lagi, tidak dinafikan bahawa masih ada beberapa menteri yang tidak menunjukkan prestasi yang baik kerana mereka masih belum menemui rentak serta memerlukan sedikit lagi masa untuk menyesuaikan diri.
"Ini normal, sebab majoriti anggota kabinet sekarang orang baru, belum ada pengalaman sebagai kerajaan di peringkat persekutuan.
"Pengalaman sebagai pembangkang juga tidak sama sebagai kerajaan,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin, yang mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi, Isnin lalu, kerana tidak berpuas hati dengan prestasi anggota Kabinet.
Ditanya sama ada kenyataan yang dibuat A. Kadir itu boleh memberi kesan kepada anggota Kabinet kerajaan PH itu, jelas Mohd Yusri teguran itu merupakan satu semak dan imbang yang baik.
"Sekarang ni kerajaan PH agak bebas dan terbuka, bagi saya tiada masalah A Kadir menegur secara terbuka prestasi anggota2 kabinet, bahkan itu sebagai satu semak dan imbang yang baik.
"Menteri-menteri Kabinet yang sebahagiannya masih junior juga perlu menerima teguran itu dengan hati terbuka, boleh buat refleksi kendiri untuk tingkatkan lagi prestasi,”katanya.
Tambahnya lagi, menjelang bulan Mei nanti, semua anggota Kabinet seharusnya berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat dengan kualiti yang optimum.
Terdahulu, A. Kadir menerusi catatan di blognya berkata, selepaslebih lapan bulan mentadbir negara, kerajaan PH belum berjaya menampakkan hasil yang boleh dirasai oleh rakyat jelata.
Katanya, kerajaan tidak perlu berdolak dalik bahawa semakin ramai rakyat yang kecewa dengan prestasi kerajaan PH, termasuk dengan anggota Kabinet dan perkhidmatan awam.
ARTIKEL BERKAITAN:
Kerajaan tubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi
PM tidak gembira prestasi Kabinet PH: A KAdir Jasin