PEMILIHAN Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sempena Kongres FAM ke-57 hari ini diharap bakal menampilkan pihak yang benar-benar mampu untuk memacu sukan bola sepak negara hingga ke tahap tertinggi.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, FAM kini memerlukan tenaga serta idea-idea baharu selaras dengan perkembangan sukan bola sepak hari ini.
Justeru katanya, senario berkenaan sudah pastinya perlu melibatkan pihak mahu pun yang benar-benar mahu memastikan sukan bola sepak di negara ini turut berkembang maju seiring dengan perkembangan semasa.
"Bagi saya, sukan bola sepak kian maju ke hadapan dan oleh itu apa yang benar-benar diperlukan ketika ini adalah sesuatu yang baharu melibatkan dari segi idea, kepakaran dan juga tenaga.
"Untuk merealisasikan perkara ini, sudah pastinya kita memerlukan pihak yang sentiasa memikirkan untuk membawa bola sepak ke ‘hadapan’ dan bukannya ke ‘belakang.’
"Oleh itu, ia perlu bermula dari sekarang kerana jika mahu sasaran ke Piala Dunia, Sukan Olimpik tercapai suatu hari nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pada kongres kali ini, seramai 27 calon layak bertanding bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021 - 2025 melibatkan jawatan bagi Presiden, dua Timbalan Presiden, empat Naib Presiden dan 10 Ahli Jawatankuasa Eksekutif termasuk wanita.
Bagaimanapun calon-calon jawatan bagi Presiden dan Timbalan Presiden, telah sah mengesahkan jawatan masing-masing yang menyaksikan Datuk Hamidin Mohd Amin kekal selaku Presiden FAM manakala Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundram Timbalan Presiden.
Justeru, tumpuan sudah pastinya terarah kepada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden FAM yang menampilkan lima calon Mohd Firdaus Mohamed, Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Posa Majais, Mohd Joehari Mohd Ayub dan Datuk Seri Afandi Hamzah bagi merebut empat kerusi pada pemilihan berkenaan.
Sementara itu, Jamal Nasir berkata, siapa juga yang bakal terpilih dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM nanti, diharap dapat membantu menjayakan idea-idea serta perancangan daripada Presiden FAM.
"Bagi saya, Presiden FAM nak tengok orang bekerja dan bukannya hanya duduk tanpa berbuat apa-apa untuk memastikan kemajuan sukan bola sepak negara.
"Saya lihat, Presiden FAM memiliki idea-idea yang bagus, namun ia memerlukan sokongan daripada semua pihak bagi merealisasikannya,” katanya.