KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang di Seberang Takir, Kuala Nerus pada 7 Mac lalu ditemui anggota polis di Ajil, Hulu Terengganu dalam keadaan selamat.
Muhammad Muqri Abdul Rahman, 20, dihantar ke Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus sebelum dibawa pulang oleh keluarganya di Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir.
Iklan
Iklan
Bapa saudaranya, Shamshu Kodri Umar, 51, berkata, anak saudaranya itu ditemui pada jam 2 pagi oleh anggota polis sebelum menghubungi Balai Polis Gong Badak berhubung laporan orang hilang yang dilaporkan sebelum ini.
"Alhamdulillah, Muhammad Muqri ditemui dalam keadaan selamat dan telah dibawa pulang keluarganya jam 7 pagi pada Jumaat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.
Ibunya, Salina Abdul Rahman, 50, berkata, anaknya didapati hilang selepas keluar daripada kediaman neneknya di Kampung Baru, Seberang Takir, pada 7 Mac lalu.
Katanya, kali terakhir beliau melihat Muhammad Muqri jam 5 petang sebelum anaknya itu keluar dari rumah neneknya selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.