MELAKA - Kerajaan negeri kesal apabila projek tambakan laut dan penyambungan jeti Tanjung Bruas di Tanjung Keling di sini, diteruskan tanpa pengetahuan serta diadakan perbincangan.
Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, tindakan mengenepikan kerajaan negeri tidak wajar berlaku dan lebih serius kerja-kerja pembinaan yang dijalankan akan menyebabkan ramai nelayan di kawasan berkenaan terjejas.
Menurutnya, sehingga kini pihaknya juga tidak dipanggil dan diberikan maklumat mengenai projek terbabit, selain mengadakan pertemuan dengan pengurusan Tanjung Bruas Port Sdn Bhd secepat mungkin supaya kerja-kerja pembinaan itu tidak hanya menguntungkan satu pihak sahaja sehinggakan ada pihak yang teraniaya.
"Kita tak dapat apa-apa maklumat dan perkembangan berhubung projek memanjangkan jeti, jadi dia buat cara dia sendiri dan pada saya itu tidak betul.
"Kalau begini caranya, Isnin ini saya akan bertanya dan bincang kenapa kami diketepikan, sepatutnya kelulusan kerajaan negeri penting termasuk kelulusan teknikal seperti Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA)," katanya.
Norhizam berkata demikian ketika mengulas mengenai projek pemanjangan jeti Tanjung Bruas Tanjung Kling selepas menyempurnakan program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum dan Penyerahan Lesen Sampan Khas di Empangan Sungai Batu Hampar, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri, Mohd Fauzi Salehon dan Pengarah Pejabat Pemantauan dan Pelaksanaan Melaka, Azizul Adzran Mahmor.
Sinar Harian pada Jumaat menyiarkan lebih 300 nelayan termasuk nelayan berdaftar di perairan Tanjung Kling gusar apabila mata pencarian mereka terjejas akibat projek penambakan laut dan pembinaan jeti pelabuhan berhampiran Jeti Nelayan Kampung Hailam sejak awal bulan ini.
Mereka mendakwa, projek pembinaan jeti pelabuhan bermula Tanjung Bruas telah menyukarkan nelayan untuk turun ke laut hinggakan ada dalam kalangan mereka terpaksa menangkap ikan sehingga hampir ke Pulau Besar.
Mengulas lanjut Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, perbincangan itu penting dilakukan bagi membela nasib nelayan yang terkesan dan mencari penyelesaian jumlah pampasan setimpal yang perlu diberikan kepada mereka terjejas.
"Sedangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali juga dengan tegas akan menghentikan projek Kuala Linggi International Port (KLIP) jika tidak mematuhi syarat EIA, inikan pula projek ini, jadi kita perlu tegas.
"Rakyat melihat dan memerhati tingkah laku kita yang menjadi kerajaan, maka kenapa nak jaga sebahagian orang yang tidak menguntungkan kerajaan negeri, kita kena buat yang terbaik untuk rakyat," katanya.