SHAH ALAM - Tiga kunci utama untuk memastikan jenayah rasuah dapat dibendung adalah dengan memberi penumpuan kepada aspek penguatkuasaan, pendidikan serta birokrasi.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae), Datuk Azih Muda berkata, kaedah penguatkuasaan dilihat sebagai tindakan drastik yang boleh dilakukan dalam usaha menangani gejala rasuah.
Bagaimanapun katanya, penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi kerana ia perlu disokong dengan kesedaran tentang keburukan rasuah kepada kehidupan, keluarga serta seseorang individu tersebut.
"Pendidikan mengenai rasuah ini perlu dilaksanakan di sekolah supaya sejak kecil lagi kesedaran itu dapat dipupuk dan akhirnya dapat melahirkan individu yang berintegriti.
"Seterusnya dalam isu birokrasi, kerajaan perlu berusaha keras untuk mengurangkan masalah berkaitan birokrasi ini. Jika tiada birokrasi, aktiviti salah laku rasuah juga boleh dihindarkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Tambah beliau, individu yang terlibat menjadi pegawai penguat kuasa juga dilihat perlu menjalani latihan pengukuhan jati diri sekurang-kurangnya enam bulan atau sehingga setahun bagi memastikan mereka menjadi seorang yang amanah, berpegang kepada prinsip keagamaan, berkeyakinan dan mempunyai sifat untuk membantu orang lain.
"Jika perkara-perkara ini dapat dilakukan oleh kerajaan ia pasti akan dapat melandaikan lengkung jenayah rasuah di negara ini.
"Perkara ini tidak akan selesai dalam sekelip mata tetapi saya percaya ia akan dapat mengurangkan kadar rasuah secara beransur-ansur sehingga menjadi sifar,” katanya.
Katanya, paling penting budaya malu untuk terima rasuah serta malu untuk beri rasuah dapat diterapkan dalam diri dan dipraktikkan semua pihak.