SATU negara menjadi kecoh dan memperkatakan tentang keputusan Mahkamah Tinggi, Rabu lalu yang membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama mereka.
Semua orang kecoh tapi boleh dikatakan semua orang pada masa yang sama tidak menjelaskan bahawa ia adalah bersyarat. Ia hanya untuk bacaan orang Kristian.
Dan untuk memastikan kitab atau bahan bacaan itu khusus buat penganut agama Kristian sahaja, arahan turut diberikan bahawa penerbitan berkenaan mestilah mengandungi lambang salib di kulit hadapan. Ia adalah untuk melindungi orang Islam daripada membaca bahan terbitan itu yang dikhususkan hanya untuk penganut agama Kristian.
Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya telah menjalankan tanggungjawabnya bagi memastikan penganut agama Islam tidak terkeliru yang ia adalah kitab atau bahan bacaan penganut agama Kristian, bukan untuk mereka (Islam).
Belalang melihat perkara ini dari sudut yang positif. Jika orang Islam kuat dan kukuh imannya, buatlah apa pun, keimanannya kepada ALLAH yang satu tidak akan terjejas walau sedikit pun.
Pokok pangkalnya keimanan dan ketauhidan orang Islam harus kuat. Jika kita kuat di dalam, kita tidak perlu bimbang.
Setakat keputusan Mahkamah Tinggi itu, kedudukan orang Islam dan agama Islam di Malaysia tidak akan tergugat.
Pada pandangan Belalang, isu ini menjadi kecoh hanya di Semenanjung Malaysia. Ini kerana kedudukan sejarah, adab dan budaya bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia agak unik di peta dunia.
Semenanjung Malaysia adalah satu-satunya tempat atau wilayah di dalam dunia, Belalang ulang, di dalam dunia yang apabila disebut sahaja satu bangsa itu (dalam kes ini bangsa Melayu) mereka adalah secara automatiknya Islam dan dilahirkan sebagai seorang Islam.
Tidak ada mana-mana tempat walau di dunia Arab sekalipun, agama dikaitkan dengan sesuatu bangsa – tidak ada – melainkan di Semenanjung Malaysia sahaja. Melayu di Semenanjung Malaysia adalah Islam. Dan Islam itu adalah Melayu.
Begitulah uniknya Semenanjung ini. Hanya di sini sahaja dalam dunia sesuatu bangsa itu secara automatiknya adalah juga beragama Islam.
Jika kita baca balik Sejarah Melayu, ini semua ada kaitan dengan sejarah dan budaya serta adab resam bangsa Melayu di Semenanjung yang bertuan dan berdaulatkan Raja.
Apabila Sultan Melaka menganut agama Islam, seluruh rakyatnya yang berbangsa Melayu turut menganut Islam. Tiada seorang pun yang terlepas. Ini terjadi kerana bangsa Melayu diajar untuk setia kepada Raja.
Malah, selepas Melaka jatuh dan Semenanjung ditakluk oleh kuasa luar iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris – yang kesemuanya adalah penganut agama Kristian – selama beratus-ratus tahun sejak 1511 hingga kita merdeka pada 1957 – orang Melayu tidak terpengaruh. Mereka kekal dalam Islam di bawah payung dan panji-panji Raja Melayu. Ini kerana tiada seorang pun Raja Melayu yang menganut agama Kristian atau agama lain.
Bila Raja kekal dalam Islam, rakyatnya turut kekal Islam. Begitulah sejarah memberitahu kita. Maka, kita tidak sepatutnya berasa tergugat kerana selagi Raja-Raja kita beragama Islam dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam, selagi itulah kita akan terus berada dalam keimanan. Insya-ALLAH.
* Belalang - Sentiasa berasa tidak tergugat dengan kepelbagaian...