LAHAD DATU - Polis menahan 34 komuniti Pala'u termasuk 25 kanak-kanak yang menjalankan aktiviti mengemis di dua persimpangan lampu isyarat, di Jalan Bunga Raya dan Bandar Sri Perdana di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, dalam Op Covid-19 selama sejam bermula 12 tengah hari itu, mereka yang ditahan termasuk sembilan wanita dan kanak-kanak, berumur antara dua hingga 41 tahun.
Iklan
Iklan
"Mereka ini tidak menghiraukan risiko jangkitan wabak Covid-19 dan boleh mengakibatkan penularan pandemik serta dianggap mencabar undang-undang sedia ada dengan berlindung atas status tanpa warganegara," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Komuniti Pala'u atau lebih dikenali sebagai 'Bajau Laut' sering menjalani kehidupan secara nomad di laut sekitar Sabah.
Menurut Rohan Shah kesemua tahanan akan disiasat di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan)(No.3) 2021 kerana tidak memakai pelitup muka dan berkumpul tanpa penjarakan fizikal.
Sementara itu, katanya warga tempatan dinasihatkan agar tidak memberi sedekah kepada pengemis di jalan raya, terutamanya di kawasan lampu isyarat yang boleh mengganggu lalu lintas.
"Tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Kesalahan Dalam Kaedah-kaedah Lalulintas: Kaedah 41 LN 166/59 yang memperuntukan bahawa pejalan kaki tidak boleh berlengah-lengah di lintasan jalan," katanya. - Bernama