Rumah terbakar panggil askar

Iklan
Askar. - GAMBAR HIASAN

LENGGONG - ‘Rumah terbakar panggil askar’.

Kebiasaannya, ungkapan atau bait itu, khusus untuk anggota bomba yang melekat di dalam kepala masyarakat, akan betapa handal dan tangkasnya pasukan itu memadam kebakaran dan tiada siapa yang akan melupakan jasa bakti pengorbanan mereka ketika bertugas.

Iklan
Iklan

Namun tidak salah kiranya juga jika anggota tentera juga diberi pengiktirafan yang sama, apabila mereka juga membantu mangsa kebakaran iaitu dengan mendirikan semula rumah mereka dengan kemahiran, kudrat dan pengalaman yang ada, bagi membantu memberi kehidupan baharu kepada mereka.

Ungkapan itu juga hari ini terlihat menerusi Program Jiwa Murni - Baiti Jannati, satu kerjasama Tenaga Nasional Berhad dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), melalui Skuadron Kedua Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Taiping, yang membina semula sebuah rumah veteran ATM Zulkublii Shikh Othman, 62, di Kampung Rambung, Gelok di sini.

Iklan

Projek pembinaan itu melibatkan pembinaan sebuah rumah tiga bilik tidur, dua tandas, dapur, ruang tamu, garaj kereta dan keseluruhan lantai jubin, yang dimulakan sejak 17 November dan mengambil masa 50 hari untuk disiapkan, melibatkan seorang pegawai dan 22 anggota lain-lain pangkat skuadron tersebut.

Projek ini melibatkan kos kira-kira RM56,000 yang disumbangkan TNB melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat mereka, selain sumbangan barangan elektrik bernilai RM2,500 dari Pelitawanis TNB Cawangan Ibu Pejabat, yang prihatin dengan keperluan memasuki rumah baharu.

Iklan

Pembinaan ini juga turut mendapat bantuan dari 70 Rejimen Pakar Janaelektrik Rejimen Askar Jurutera Diraja (Askar Wataniah) TNB, bagi sistem pemasangan elektrik di mana rejimen ini merupakan pasukan askar wataniah yang mempunyai kepakaran dalam bidang elektrik dan berfungsi memastikan bekalan elektrik sentiasa berdaya harap semasa aman atau pun semasa krisis/darurat.

Menurut Zulkublii, beliau terharu dan bersyukur apabila dimaklumkan pihak ATM dan TNB akan membina rumahnya, selepas percubaan mendapatkan bantuan dari beberapa pihak menemui jalan buntu, namun akhirnya ada sinar di hujung terowong, dua bulan selepas kejadian kebakaran tersebut.

"Mulanya saya menemui jalan buntu dan tidak tahu hendak ke mana hingga terpaksa menyewa hotel, memandangkan rumah pusaka itu telah terbakar. Namun pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran memaklumkan, ada pihak yang akan membinanya semula,” katanya sebak sewaktu ditemui Bernama dan Astro Awani di rumah baharunya.

Zulkublii yang kini seorang nelayan berkata, kehadiran Ramadan dan Syawal ini pastinya lebih bermakna, apabila dapat mendiami rumah baharu bersama-sama isteri dan empat anak-anaknya yang berumur lingkungan lapan hingga 20 tahun itu.

Turut hadir dalam majlis serah kunci rumah tersebut adalah Menteri Tenaga Dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Pegawai Memerintah 70 Rejimen Pakar Janaelektrik merangkap Chief Grid Officer TNB Mejar Datuk Ir Husaini Husin, dan Chief Corporate Services Officer TNB Mohamad Ariff Zainol, selain Panglima 2 Briged Brig Jen Mohd Azmurin Mat Khalib. - Bernama