"SAYA hantar penyertaan untuk siri kali ini dua hari sebelum tarikh tutup peraduan. Tak sangka rezeki tempat pertama memihak kepada saya,” kata Zulkifele Soh, 51.
Beliau memenangi peraduan PKPNimsXSinar bagi Kategori Hadiah Siri Warna Hijau (kategori akhbar) melalui konsep cabutan bertuah.
Guru subjek Matematik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, Rantau Panjang, Kelantan ini mengakui teruja dengan kemenangan tersebut kerana kejayaan itu sebenarnya banyak didorong oleh keluarga terutama isterinya.
Menurutnya, sebagai pembaca setia akhbar Sinar Harian dan penggemar produk NIMS, mereka sekeluarga memanfaatkan sepenuhnya kelebihan itu untuk menyertai peraduan tersebut.
"Tidak sukar untuk kumpul kepala akhbar (masthead) Sinar Harian tetapi yang menjadi cabaran kepada saya adalah kesukaran untuk mengumpul penutup bekas siri warna hijau Pelangi Crispy Choco Tub yang sentiasa habis di kawasan tempat saya tinggal.
"Saya memang menyertai peraduan ini dari awal lagi dan selalu hantar penyertaan tapi kali ini cabarannya adalah untuk kumpul penutup bekas siri warna hijau.
"Banyak kali jugalah saya ke stesen minyak Petronas di kawasan saya untuk dapatkan produk ini. Alhamdulillah, walaupun hantar penyertaan saat akhir, ia berjaya membuahkan hasil,” katanya.
Zulkifele yang berasal dari Salor, Kota Bharu menganggap kemenangan itu menjadi inspirasi untuknya terus menghantar lebih banyak penyertaan bagi peraduan sama yang akan berakhir April depan.
Menurutnya, hadiah kemenangan itu mungkin akan dijadikan modal untuk terus menyertai peraduan sama bagi kategori warna yang lain pula.
Sementara itu, dua lagi pemenang cabutan bertuah bagi kategori sama ialah Muhamad Marzuki Nordin, 45, dari Batu Kurau, Perak untuk tempat kedua dan Umi Kalsom Husin, 39, dari Pasir Gudang, Johor di tempat ketiga.
Bagi Kategori Rakam & Kongsi Video Siri Warna Hijau di media sosial, suri rumah, Rozalia Alik, 28, dari Selangor berjaya memenangi tempat pertama.
Rozalia yang merupakan graduan teknologi maklumat (IT) berkata, beliau menggunakan konsep seperti sebuah rancangan televisyen yang melakukan promosi produk dengan menggunakan orang awam sebagai responden.
Dalam video yang berlatar belakangkan tiga lokasi iaitu di taman permainan, pantai dan pasar raya, Rozalia membawa mesej yang menunjukkan produk NIMS boleh dibawa ke mana-mana.
"Saya lihat video peserta lain tidak kurang hebatnya, jadi saya tidak meletakkan harapan tinggi. Saya rasa mungkin akan menang hadiah sagu hati.
"Alhamdulillah, video saya berjaya menambat hati penonton di media sosial dan juri,” katanya.
Menurutnya, hadiah kemenangan tersebut akan digunakan sebaik mungkin, selain untuk simpanan.
Dua lagi pemenang ialah produser video komersial, Muhammad Shazwan Jamal, 29, di tempat kedua dan penuntut Universiti Kuala Lumpur, Kampus Cawangan Malaysia Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC), Muhammad Haikal Rosli, 22, di tempat ketiga.
"Ada beberapa cabaran ketika menghasilkan video ini terutama dari segi idea dan masa. Sebenarnya saya telah sertai peraduan ini sejak siri warna kuning tapi belum ada rezeki. Alhamdulillah, rezeki saya untuk siri warna hijau.”- Muhammad Shazwan Jamal
"Saya memang gemar sertai peraduan anjuran Sinar Harian. Tak sangka kali ini saya pemenangnya. Hadiah yang dimenangi ini akan saya gunakan sebaik mungkin.” - Muhamad Marzuki Nordin
"Anak-anak banyak mendorong saya sertai peraduan ini. Cabaran utama yang saya hadapi adalah kesukaran mendapatkan akhbar Sinar Harian kerana ia cepat habis di kawasan saya. Terpaksa ke taman sebelah untuk dapatkan Sinar Harian.” - Umi Kalsom Husin.
"Hadiah sangat lumayan yang mendorong kami mahu mencuba. Dengan hadiah kemenangan ini, kami mahu langsaikan bayaran barang-barang yang digunakan untuk buat video seperti komputer dan kamera.” - Muhammad Haikal Rosli.