BUKIT MERTAJAM - Pengurus stesen minyak yang mendakwa wang tunai berjumlah RM35,000 kutipan hasil jualan seminggu premis itu lesap disamun seorang lelaki tidak dikenali Selasa lepas ditahan polis semalam selepas dia disyaki sengaja mereka-reka kejadian itu.
Wanita berumur 59 tahun itu disiasat kerana membuat laporan palsu selepas polis memperoleh maklumat wang tunai yang dikatakan disamun itu sebenarnya diambilnya dengan sebahagian sudah dibelanjakannya untuk berjudi dan menyambut Tahun Baharu Cina, kata Ketua Polis Daerah Seberang Tengah Asisten Superintendan Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid hari ini.
Iklan
Iklan
"Sebelum ini, wanita itu melaporkan beg tangannya yang mengandungi wang tunai itu serta barangan peribadi lain diragut seorang lelaki yang kemudiannya lari ke bahagian belakang stesen minyak. Keraguan timbul selepas bahagian belakang stesen itu didapati terdapat dinding zink tinggi yang tidak mungkin dapat dilalui sesiapa," katanya.
Menurutnya rakaman kamera litar tertutup yang diperoleh juga tidak menunjukkan sebarang kejadian samun yang didakwa oleh wanita berkenaan.
Katanya perintah reman terhadap wanita itu akan dipohon hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu, dijalankan. - Bernama