MUAR - Seramai tiga juta pelancong dijangka memilih daerah ini sebagai destinasi pelancongan.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Muar, Salehuddin Satar berkata, angka itu diperoleh selepas daerah Muar mulai memberi fokus menerima kunjungan pelawat.
Menurutnya, sehubungan itu, beberapa pakej pelancongan direncanakan sebagai persiapan menerima kehadiran jutaan masyarakat sama ada dalam dan luar negeri untuk ke daerah ini.
"Ada 20 pakej pelancongan disediakan termasuk berasaskan sejarah, agro-pelancongan, seni dan budaya, makanan tradisional, eko-pelancongan dan pelbagai lagi.
"Kita sedang menyenaraikan pakej bersesuaian dengan citarasa kumpulan pelancong yang akan menginap di hotel dan homestay di daerah ini," katanya ketika dihubungi.
Oleh demikian katanya, pihak pelancongan turut menyediakan pakej lawatan antaranya ke Muzium Sejarah Bukit Kepong, menginap di homestay Kampung Parit Bugis, Parit Yusof yang merupakan homestay terbaik di Johor.
Beliau berkata, bagi pelancong yang berminat dengan alan sekitar, pihaknya akan menyediakan bot untuk menyusur Sungai Muar atau memancing ikan di laut atau di kelong dekat Selat Melaka.
"Kita akan terus merancakkan pakej pelancongan ini kerana selain menarik kunjungan mereka ke Muar, ia juga sebagai mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 ini,” katanya.