PARIT - Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menamatkan zaman duda apabila berkahwin dengan Pengarah Kanan (Keusahawanan dan Perniagaan) Institut Koperasi Malaysia, Puan Sri Noraesyah Shaari di sini.
Mohamad Fuzi selamat bergelar suami kepada Noraesyah dengan sekali lafaz selepas diijabkabulkan di sebuah masjid di Seri Manjung, Manjung pada jam 11 pagi, Sabtu.
Majlis perkahwinan pasangan itu berlangsung secara sederhana di rumah keluarga Mohamad Fuzi di Kampung Tua, Lambor Kanan di sini pada Ahad dengan mengikut normal baharu.
Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso.
Mohamad Fuzi berkata, beliau gembira kerana dapat disatukan dengan isteri biarpun dalam suasana normal baharu.
"Kerana jodoh, saya dan isteri ditakdirkan bertemu sebelum bersetuju untuk sama-sama mengakhiri dengan ikatan perkahwinan.
"Alhamdulillah, semua urusan berjalan lancar dan terima kasih kepada semua yang membantu, hadir dan mendoakan kami,” katanya.
Mohamad Fuzi dilantik sebagai KPN ke-11 menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 4 September 2017 sebelum bersara wajib pada Mei 2019.
Isterinya, Puan Sri Azizah Hamdi, 58, meninggal dunia akibat barah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor pada 15 Disember 2017.